Kristian

Bukti Kaum Terdahulu Berpuasa: Adakah ‘tuhan’ Juga Berpuasa?

Puasa adalah perbuatan menahan diri daripada sesuatu perbuatan dalam suatu tempoh tertentu seperti makan atau minum atau kedua-duanya sekali, menahan diri dari bersetubuh serta menghindari perkara yang boleh membatalkannya. Perkataan puasa berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘Upavasa’ (उपवास) bermaksud memurnikan diri. Di dalam bahasa Arab pula perkataan puasa adalah ‘Shaum’ (صوم) dan jamaknya adalah ‘Shiam’ (صيام).

Tuhan Atau Nabi Berpuasa?

Amalan berpuasa ini bukanlah amalan baru yang disyariatkan oleh nabi Muhammad, ini kerana para nabi dan rasul terdahulu juga diturunkan kepada mereka syariat berpuasa ini. Firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)

Ayat ini jelas menekankan bahawa syariat berpuasa juga telah disyariatkan oleh kaum terdahulu seperti kaum nabi Musa dan nabi Isa. Malah perkara ini ada disebut di dalam Perjanjian Lama mengkhabarkan nabi Musa pernah berpuasa selama 40 hari 40 malam tanpa makan dan minum:

“Musa ada bersama Tuhan selama 40 hari dan 40 malam lamanya, tidak makan roti dan tidak minum air” (Keluaran 34: 28)

Malah di dalam ayat lain pula disebut bahawa kaum nabi Musa diperintahkan untuk berpuasa:

“Inilah yang harus menjadi ketetapan untuk selama-lamanya bagi kamu, yakin pada bulan ketujuh, pada tanggal sepuluh bulan itu kamu harus merendahkan diri dengan berpuasa…” (Imamat 16: 29).

Selain itu, nabi Daud juga disebut di dalam Perjanjian Lama yang baginda juga berpuasa:

“Lalu Daud memohon kepada Tuhan oleh kerana anak itu, ia berpuasa dengan tekun dan apabila ia masuk ke dalam, semalam-malaman itu ia berbaring di tanah.” (2 Samuel 12: 16)

Manakala di bahagian lain pula disebut bahawa Yesus, atau nabi Isa yang dianggap sebagai tuhan oleh Kristian juga turut berpuasa, ia disebut dalam Perjanjian Baru:

“Dan setelah berpuasa 40 hari dan 40 malam, akhirnya laparlah Yesus.”

Yesus juga dikatakan berpuasa selama 40 hari dan 40 malam tidak makan dan tidak minum seperti nabi Musa. Malah disebut juga Yesus lapar dan kelelahan disebalik diuji oleh Iblis.

“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya.” (Matius 6: 16)

Tuhan Atau Nabi Berpuasa?

Syariat dan ibadah puasa ini adalah sinonim dengan arahan tuhan kepada nabi dan rasul. Nabi Musa, Daud, Ezra, Daniel dan ramai lagi melakukan ibadat puasa.

Manakala dalam Perjanjian Baru menyebut Yesus juga berpuasa. Lalu timbul beberapa persoalan, jika ia adalah tuhan mengapa Yesus melakukan ibadat seperti seorang nabi dan rasul? Tidakkah perbuatannya itu diuji seperti seorang manusia dan rasul sebelumnya? Jika ia tuhan maha kuasa mengapa ia perlu diuji dengan iblis dan sengsara dirinya di Gurung yang kontang?

Seperti Muhammad S.A.W merupakan seorang nabi dan rasul diperintahkan kepada umatnya agar mewajibkan umatnya berpuasa penuh satu bulan pada bulan Ramadhan. Malah sesuai dengan ayat al Quran menyebut, seperti kaum terdahulu, mereka juga berpuasa.

Ini jelas menunjukkan bahawa syariat puasa itu wujud sejak nabi dan rasul terdahulu. Dengan syariat puasa ini, adalah lambang rahmatnya Allah kepada umatnya, Allah memberi peluang kepada hamba-hambanya untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Nabi bersabda dalam satu hadis:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَمُرْنِيْ بِعَمَلٍ أَدْخُلُ بِهِ الْجَنَّةَ . قَالَ: عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لاَ مِثْلَ لَهُ

“Wahai Rasulullah, perintahlah saya untuk mengerjakan suatu amalan, yang dengannya, saya dimasukkan ke dalam syurga. Baginda bersabda, ‘Berpuasalah, kerana (puasa) itu tidak ada bandingannya..’.” (Shahih Ibn Hibban no 3425)

Admin FI

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close