Syubhat

Apa Kritikan Tokoh Non Muslim Ribuan Tahun Dulu Terhadap Islam?

Dalam berdakwah untuk menyebarkan kebenaran Islam, adalah menjadi satu keperluan untuk para pendakwah mengetahui kritikan dan serangan – serangan intelektual yang dilemparkan oleh musuh – musuh Islam. Hal ini bertujuan supaya dapat ditangkis syubhat tersebut dan mengelak dari terperangkap dengan retorik mereka.

Siri – siri kritikan terhadap Islam hakikatnya bermula seawal permulaan Islam lagi, dengan tuduhan – tuduhan daripada musyrikin Mekah yang mengatakan Muhammad gila, penyair, penyihir dan sebagainya. Kritikan – kritikan yang pelbagai turut dilemparkan oleh tokoh – tokoh bukan Islam pada zaman Umawiyyah dan Abbasiyah. Dah pasti, ulama Islam menangkis serangan intelektual ini zaman berzaman.

Artikel ini merumuskan pemuka – pemuka pengkritik Islam sejak zaman Umawiyyah dan Abbasiyah beserta kritikan biasa mereka.

John of Damascus dan De Haeresibus (m. s.754)

Di penghujung pemerintahan Umawiyyah (sekitar tahun 734 masihi), terdapat sebuah karya yang dihasilkan oleh non Muslim, yang secara jelas mengkritik al-Qurʾān dan Rasulullah. John of Damascus di dalam karya beliau berjudul Liber de haeresibus telah menukilkan perbahasan tentang penyelewangan di dalam agama Kristian.

Antara kritikan yang dilontarkan oleh beliau adalah:

Rasulullah adalah seorang yang menyeleweng, yang terpengaruh dengan pendeta ArianKenabian Rasulullah tidak pernah dikhabarkan oleh Nabi terdahulu.Muslim juga menyekutukan Allah dengan menyembah Kaabah dan batu hitam.John menyatakan kritikan keras beliau terhadap peribadi Rasulullah dengan menyifatkan Baginda sebagai seorang yang tidak bermoral. Ini adalah kesimpulan yang dihasilkan melalui kisah sirah perkahwinan Baginda dengan Zaynab bint Jahsh, isteri kepada anak angkat Baginda Zayd b. Hāritha

.Risālah ʿAbd al-Masīḥ al-Kindī (c. 820)

Kurun 9 Masihi (3 Hijri) sekali lagi menyaksikan terbitan karya yang secara jelas menyatakan kritikan penulis ke atas al-Qurʾān dan Rasulullah. Karya yang dikenali dengan nama Risālat ʿAbd al-Masīḥ al-Kindī ini dihasilkan dalam bentuk penulisan surat.

Antara kritikan yang ditimbulkan oleh ʿAbd al-Masīḥ adalah:

Ajaran Kristian telah mempengaruhi sebahagian besar kandungan al-Qurʾān.Seorang paderi Kristian yang bernama Sergius dinamakan sebagai sumber inspirasi Rasulullah untuk mengarang al-Qurʾān berdasarkan kerangka Gospel.Risālah Al-Kindī juga menyatakan kritikan keras terhadap peribadi Rasulullah. Belia mempersembahkan Rasulullah sebagai seorang yang mempunyai nafsu yang tidak terkawal (sexually uncontrolled) melalui penafsiran beliau terhadap riwayat Sirah Nabawiyyah berhubung perkahwinan Rasulullah dengan Zainab.Menurut penulis, al-Qurʾān bukan sahaja kitab palsu (false scripture) bahkan kitab perundangan yang diinspirasi oleh kejahatan.

Perdebatan Timothi I (m. 823) dengan Khalifahal-Mahdī

Timothy (Ṭīmāteʾōs), adalah ketua paderi bagi gereja wilayah timur Syria (East-Syrian patriarch). Beliau telah menghasilkan pelbagai karya samada dalam bentuk buku atau risalah kecil dan himpunan surat – surat.

Surat 59 telah menarik perhatian penyelidik berkaitan hubungan antara Islam dan Kristian. Di dalam surat inilah direkodkan perdebatan antara Timothy dengan Khalifah al-Mahdī, yang mana ianya telah menjadi rujukan utama dalam perihal pertembungan agama Islam dan Kristian di zaman awal Islam.

beberapa kritikan Timothy terhadap Rasulullah dan al-Qurʾān antaranya adalah:

Perbahasan berhubung makna kalimah word al- Ṣamad di dalam surah al-Ikhlāṣ.al-Qurʾān tidak memiliki ciri-ciri sebagai kitab yang diturunkan melalui wahyu. menyifatkan Rasulullah sebagai seorang ahli dalam bidang Trinity

Karya Eulógio of Córdoba (m. 859) (Eulogius of Cordova)

Eulógio adalah seorang paderi di Cordova ketika zaman pemerintahan Islam. Ketika Cordova dikuasai oleh Islam, ramai penganut Kristian telah dikenakan hukuman bunuh yang mana kebanyakkan puncanya adalah kerana menyakiti Islam dan Nabi Muḥammad.

Antara kritikan yang dilontarkan oleh Eulógio terhadap al-Qurʾān dan Rasulullah ialah:

Beliau menggunakan ayat 37 daripada surah al-Ahzab (perkahwinan dengan Zainab) untuk mengkritik Rasulullah dengan menyatakan bahawa Rasulullah adalah seorang yang tidak bermoral. Jika diteliti, hujah yang digunakan oleh Eulógio ini adalah sama dengan apa yang telah ditulis oleh ʿAbd al-Masīḥ al-Kindī dan John of Damascus.Beliau menggambarkan perkahwinan Nabi dengan Khadijah adalah kerana kepentingan harta.Dan beliau melihat wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah hanyalah dakwaan yang dibuat oleh Rasulullah sendiri.

Kesimpulan

 

Secara rumusnya, karya – karya non – Muslim ini terbentuk atas beberapa tema, yang kemudian menjadi panduan dan kerangka asas bagi pengkritik moden, iaitu:

1- Rasulullah adalah Nabi palsu.

2- Rasulullah adalah lelaki yang tidak bermoral.

3. Al-Quran bukanlah wahyu.

4. Kandungan al-Quran meragukan. Malah isinya menyalahi konsep kitab suci

Menariknya, tiada seorang pun pengkritik Islam ribuan tahun lalu mengkritik isu yang pada masa kini dianggap sisi paling kontroversi Islam, Iaitu perkahwinan Nabi dengan Aisyah. Kritikan mereka yang paling keras dan berulang – ulang, iaitu perkahwinan Nabi dengan isteri kepada anak angkat baginda Zayd b. Haritha pula kini hampir tidak lagi kedengaran.

Bermakna, apa yang dianggap kritikan kritikal yang bisa merobohkan Islam boleh jadi hanya akan lesap ditelan masa.

Dipetik dari artikel KRITIKAN TERHADAP RASULULLAH DAN AL-QURAN: ANALISIS KARYA NON-MUSLIM ZAMAN UMAWIYYAH DAN ABBASIYYA

 

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close