feminisme

Bagaimana Feminis Memaksakan Gender Ke Dalam Nilai Ilmu.

Di negara semacam UK, Nilai – nilai progresif berkaitan penerimaan golongan ‘minoriti’ dan ‘lemah’ seperti golongan LGBT, blacks, pelarian, dan wanita bukan lagi sekadar satu seruan mainstream atau arus perdana, tapi kini turut jadi seolah-olah satu perjuangan pelajar Britain.
Di kebanyakan universiti bendera pelangi akan dikibar megah, lebih dari bendera England atau European Union. Bukan sahaja hampir semua uni memiliki kelab LGBT, malah universiti dinilai juga berdasarkan gay-friendliness. Terdapat juga tandas gender neutral, masuklah siapa saja pun. Begitu juga, apabila pertama kali tiba di universiti anda akan ditawarkan dua jenis peta, satu peta ‘normal’ dan satu peta khusus untuk golongan gay supaya mudah mereka mencari gay bar berdekatan.
Ini semua menunjukkan tahap obsesi rakyat UK terhadap isu gender masa ini terutama bagi permasalahan sosial. Namun, yang lebih parah dan membimbangkan adalah apabila tasawwur gender turut dipaksakan dalam dunia akademik dan keilmuan, sebagaimana yang dipelopori oleh golongan feminis.

Bagaimana feminis memaksakan lensa gender dalam sumber ilmu

Feminis membuat klaim bahawa ilmu dan sumbernya yang kita gunakan sekarang adalah bias lelaki. Kathleen Lennon dalam tulisan beliau “Gender and Knowledge” contohnya membahaskan argument bahawa masalah – masalah keilmuan dan solusi yang dicadangkan hanya berkisar sekitar pengalaman lelaki dan tidak wanita. Oleh itu timbullah satu bidang ilmu baru yang dipanggil ‘feminist epistemology’ – yang bertujuan mengkaji kesan norma gender terhadap penghasilan ilmu sebagaimana yang dihuraikan oleh Elizabeth Anderson dalam “Feminist Epistemology: an Interpretation and a Defense”.
Jadi jenis ilmu yang bagaimana yang terkesan? Kalau yang dimaksudkan oleh feminis ilmu seperti ilmu perundangan, pengurusan, kajian sosial atau sejarah tidak lah hairan sangat. Tapi hakikatnya, dan ini agak mendatangkan kebingungan, spektrum ilmu yang paling banyak ‘diserang’ adalah ilmu sains.
Helen Longino yang merupakan ahli falsafah sains dan ahli teori feminisme mendatangkan beberapa kenyataan berkenaan sains yang agak membingungkan. Dalam tulisan beliau “Subjects, Power, And Knowledge: Description and Prescription in Feminist Philosophies of Science”, beliau mengatakan keinginan mengubah sains itu sendiri dan mengharapkan agar diberi kuasa berbuat demikian.
Kenapa? Kerana beliau menganggap kesemua masalah yang dihadapi oleh sains sekarang adalah kerana male bias.
Umm….
Contoh yang diberikan adalah berkaitan dengan ideologi gender dan sosial yang sering kali digunakan untuk menerangkan suatu fenomena sains. Misalnya, kenapa perkahwinan heteroseksual laki sama perempuan, suatu konstruk sosial yang makin tak relevan menurut feminis, digunakan untuk menerangkan model hubungan nucleus dan cytoplasm?
Argumen ini cukup membingungkan, kerana tidak tahu bagaimana hendak diaplikasikan isu gender dengan ilmu sains tersebut. Ambil contoh persamaan yang merupakan antara undang – undang saintifik paling penting dalam ilmu fizik, Newton’s Second Law of Motion F=ma. Apa yang male bias dalam persamaan ini? Bagaimana hendak diletakkan pengalaman wanita dalam law ini, sebab Newton lelaki? Memang diakui persamaan ini tidak lagi tepat apabila kelajuan objek menghampiri halaju cahaya dan diganti pula dengan teori Relativiti Einstein, tapi sekali lagi, di mana isu gendernya?
Begitu juga dengan persamaan asas termodinamik The Steady Flow Energy Equation (SFEE) yang menjadi igauan pelajar kejuruteraan selama 4 tahun. Terma yang dilibatkan dalam persamaan tersebut adalah internal energy (J), pressure (N/m^2), volume (m^3), velocity (m/s), acceleration (m/s^2), heat flow (J) dan work (J). Adakah selepas ini perlu diletakkan pula terma baru untuk gender, (Ge)?
Walaupun sangat membingungkan, sekurang-kurangnya ada ruang untuk bersangka baik kerana premis yang diajukan hakikatnya merujuk kepada falsafah saintifik Kuhn, yang menyebut bahawa praktikal sains hakikatnya dikesani dengan teori dan norma sosial saintis. Namun dalam klaim yang lebih memeningkan, matematik yang dianggap disiplin ilmu yang paling bersifat objektif dan neutral
juga tidak terlepas dari feminis. Xinyan Jiang dalam “Feminist Epistemology, an Introduction” membawa kenyataan bahawa Matematik adalah subjek yang paling ‘masculine’ (?).
Jadi selepas ini seseorang boleh mengatakan 1 + 1 = 2 tidak lagi benar kerana bias lelaki? Atau bagaimana?

Menjantinakan wahyu

Percubaan feminis mengubah struktur dan metodologi ilmu yang paling kontroversi bagaimanapun adalah apabila mereka mula mempersoalkan sisi gender wahyu itu sendiri. Cuba melihat Kalamullah semata – mata mengguna lensa jantina dan norma sosial Barat.
Di Malaysia kumpulan yang sering dikaitkan dengan hal ini adalah mereka yang menamakan diri mereka Sisters In Islam (SIS). Mungkin ramai yang kenal SIS ini. Tahukah anda wakil SIS, Marina Mahathir sendiri, pernah berdebat dengan pendebat Muslim antarabangsa di London?
Sebenarnya saya tak tahu sama ada layak dipanggil ‘debat’ pun, lebih kepada public execution kerana argument yang begitu memalukan dari pihak SIS, seolah-olah ketaq berhadapan dengan Muslim intelektual yang lebih pandai berbahasa Inggeris. Saya jemput anda tonton dan nilai sendiri hujahan ilmiah mereka.
Apapun, terdapat satu soalan dalam sesi tersebut yang masih terngiang-ngiang dalam kepala saya dan merupakan representatasi masalah paling besar golongan feminis. Setelah mengatakan cara penafsiran Quran dan Sunnah, yang telah diamalkan ulama zaman berzaman, sebagai ‘suatu isu’, moderator kemudian bertanya kepada pendebat antarabangsa tersebut, Zara Faris sama ada wajar atau tidak wanita diberi kuasa politik untuk menafsir Quran.
Wakil daripada Muslim Debate Initiative tersebut tampak terkejut dengan soalan yang datang dari Melayu Muslim itu, tetapi dengan tenang memberikan jawapan beliau:
“Saya kira ada dua perkara yang tidak relevan (dengan ilmu tafsir), jantina mufassir tersebut dan juga kuasa politik. Tujuan menafsir al Quran adalah untuk memahami kehendak Tuhan, dan untuk menafsirnya, anda perlu menjadi seorang mujtahid. Dan jika anda ada bias, jika anda memiliki agenda politik, hakikatnya penafsiran anda perlu dipertikai!”
Seruan untuk memberikan kuasa politik kepada agenda menjantinakan wahyu hakikatnya adalah satu seruan yang sangat membimbangkan, dan apabila idea ini datang daripada orang Islam sendiri, mendatangkan kerisauan yang amat besar sekiranya golongan ini pulang ke Malaysia dari Barat dan memegang jawatan besar.
Lantaran mereka diberi ruang mempertikaikan struktur ilmu sains yang dianggap objektif sendiri di Eropah, maka tidak hairan mereka boleh berbuat lebih lagi kepada ilmu wahyu.

Kesimpulan

Bukanlah tulisan ini bermaksud menidakkan dan merendahkan sebarang perjuangan berkaitan gender dan emansipasi wanita. Seruan – seruan tersebut ada meritnya. Tetapi haruslah seimbang dan dibatasi agar tidak melampaui had yang sewajarnya. Menjadikan thesis akademik berkaitan persoalan teknikal dan saintifik dalam kejuruteraan sebagai suatu agenda pemerkasaan gender adalah tidak wajar. Begitu juga dengan memaksakan agenda gender dalam pemahaman wahyu. Apabila kita belajar mengenai ilmu tafsir contohnya, kita akan dapati ia adalah disiplin yang sangat ketat, merangkumi metodologi tafsir Quran dengan Quran, Quran dengan Sunnah, Quran dengan Athar, Quran dengan bahasa Arab dan Quran dengan Ijtihad (Bilal Philips, Usool at Tafseer). Tiada metodologi penafsiran al Quran dengan gender.
Apa pun, istilah dan kefahaman ‘gender’ dan ‘feminisme’ itu sendiri hakikatnya amat longgar dan tidak ampuh. Pengenalan awal mengenai feminism oleh Jane Freedman dimulakan dengan penegasan bahawa ‘kita tidak boleh memberi maksud kepada feminisme’. Karen Offen dalam tulisan beliau “defining feminism: a comparative historical approach” mengatakan bahawa untuk memberi makna kepada feminisme sendiri sangat bermasalah, kerana tiada kriteria khusus, tiada kayu pengukur, dan tiada autoriti dan dah pasti, tiada sumber rujukan wahyu, seperti mana yang dimiliki oleh Islam.
Jadi, bukankah tidak wajar untuk dipaksakan suatu konsep yang samar – samar dan lemah nilai sumber keilmuannya kepada faham yang lain?

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close