perbandingan agama

Bon Odori, Adakah Ia Perayaan Agama?

Dilihat ramai masyarakat kita terutama dari kalangan anak muda muslim yang menyertai festival Bon Odori. Pada tahun ini festival Bon Odori diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam disertakan dengan hebahan dan tarikan yang tertentu. Sebenarnya apakah itu Bon Odori?

Perkataan “Odori” dalam bahasa Jepun adalah bermaksud tarian traditional Jepun. Manakala “Bon” pula adalah nama kepada Perayaan Hantu Lapar iaitu satu amalan dalam keagamaan Buddha. Falsafah dan sejarah di sebalik perayaan Bon ini adalah berasaskan kepada kepercayaan agama yang wujud di dalam agama Buddha.

Masyarakat Jepun yang beragama Buddha percaya pada hari Bon tersebut roh nenek moyang akan berkeliaran menziarahi kembali ke rumah.

Perayaan Bon ini telah dirayakan di Jepun selama lebih dari 500 tahun dan secara tradisional termasuk tarian, yang dikenali sebagai Bon Odori. Tarikh penyambutan perayaan ini berbeza-beza.[1]

Sejarah

Di sisi sejarah perayaan ini, kebanyakan orang mengetahui tentang kisah perayaan ini adalah melalui tukang cerita profesional, yang menceritakan sebuah kisah bertajuk “The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions”.

Kisahnya tentang seorang pengikut Siddhratha Gautama Buddha, yang bernama Mu-Lien (Sanskrit: Maudgalyayana) yang mempunyai kebolehan untuk melihat alam ghaib, serta misinya untuk mencari kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Kisah ini juga tertulis di dalam Ullambana Sutra (juga dikenali Yulanpen Sutra yang dipercayai ditulis antara 266- 313 Masihi).

Ketika Maudgalyayana sedang bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka akibat daripada balasan amalan buruk ibunya semasa hidup. Ibunya itu menjadi hantu lapar yang memiliki leher yang sempit tetapi perut yang besar. Leher yang sempit itu menyebabkan ia sukar untuk menelan makanan manakala perut yang besar menyebabkan perut selalu kosong dan dalam keadaan lapar. Ini adalah balasan kepada ibunya kerana tidak membelanjakan wang peninggalan suaminya dengan memberikan makanan kepada orang ramai sepertimana diwasiatkan oleh suaminya itu.

Hal ini membuatkan Maudgalyayana berasa sedih, terseksa dan bertekad untuk menyelamatkan ibunya. Dia telah mengurangkan seksaan ibunya itu dengan meminta tunjuk ajar daripada Buddha cara untuk memberi makan kepada ibunya itu. Buddha mengarahkan untuk meletakkan makanan di atas pinggan yang bersih dan membaca mantra tertentu sebanyak tujuh kali, dan memetik jari untuk memanggil roh yang telah meninggal lalu meletakkan makanan itu di atas lantai yang bersih.

Perbuatan Maudgalyāyana ini telah dapat menyelamatkan ibunya dan ibunya menjadi anjing yang dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan. Dia lalu meminta bantuan Buddha lagi sekali untuk menghidupkan kembali ibunya menjadi manusia. Buddha pun menetapkan suatu hari (iaitu hari ke-14 bulan ke-7 tahun lunar) di mana Maudgalyāyana perlu memberi makan kepada 500 bhikkhu (para sami), sehingga akhirnya ibunya telah dapat dihidupkan kembali dalam bentuk manusia.

Lalu peristiwa ini mula dikenang dan diadakan secara konsisten oleh penganut Buddha. Ia dikenali sebagai Ullambana. Ketika agama Buddha mula masuk ke Jepun sekitar abad ke 4 M. Ullambana ini mula dikenali sebagai Bon, hari merai roh nenek moyang.

Bon Odori Tarian Menghiburkan Hantu

Tarian di dalam perayaan Bon Odori adalah salah satu cara untuk menghiburkan roh atau hantu nenek moyang. Situasinya hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh orang cina iaitu melakukan hiburan opera dan juga mengadakan konsert sempena Perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival).

Bon Odori memiliki cara tarian khusus, walaupun tarian Bon Odori yang biasanya melibatkan orang ramai yang berbaris dalam lingkaran sekitar perancah kayu seperti pentas yang tinggi yang dibuat khas dipanggil sebagai Yagura. Yagura biasanya juga untuk pemuzik dan penyanyi sempena perayaan Bon.

Sesetengah tarian Bon Odori bergerak mengelilingi mengikut arah jam. Pentas Yagura itu dianggap sebagai ‘kiblat’ selama tarian itu diadakan.

Kesimpulan

Perayaan Bon adalah tidak ubah seperti perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat Cina. Cuma di Jepun ia disertakan dengan tarian bagi menghiburkan hantu-hantu nenek moyang.

Oleh itu sebagai muslim, menghindari dari terlibat di dalam tarian ini adalah suatu perkara yang dituntut. Kerana ia adalah perayaan yang berbentuk keagamaan dan falsafahnya bercanggah dengan ajaran Islam (terutama soal roh & hantu).

Dan sudah tentu di dalam tarian itu akan berlaku ikhtilat (percampuran lelaki dan wanita). Oleh itu janganlah kita mudah terikut sesuatu amalan itu di atas nama ‘Kebudayaan’ dan ‘Tradisional’ semata-mata sedangkan di sebaliknya memiliki falsafah tersendiri.

Bimbang termasuk di dalam golongan yang melakukan tasyabbuh (menyerupai golongan agama lain). Seperti hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum (dalam urusan agama), maka ia termasuk golongan mereka”.[2]

Islam sangat mementingkan nilai identiti sebagai muslim bagi membezakan dengan amalan bukan Islam. Dalam soal ini ramai yang tidak faham dengan menganggap “menari pun lemah iman?” atau “Takkan dengan sambut benda ni tergadai aqidah”. Ia bukan soal iman dan aqidah semata tetapi ia soal identiti sebagai seorang muslim. Sebab itu di dalam hadis lain nabi menyuruh muslim menipiskan misai dan menyimpan janggut bagi membezakan dengan golongan musyrik dan bukan Islam. Ia bukan soal iman atau aqidah sahaja tetapi soal identiti sebagai muslim. Maka jagalah identiti kita sebagai seorang muslim.


Nota Kaki:

[1] Perayaan Bon berlangsung selama tiga hari; Walau bagaimanapun, tarikh permulaannya berbeza-beza mengikut wilayah di Jepun. Apabila kalendar lunar ditukar kepada kalendar Gregori pada permulaan era Meiji, kawasan-kawasan di Jepun bertindak balas dengan berbeza sehingga mewujudkan tiga tarikh perayaan Obon yang berberlainan hari. Pertama Shichigatsu Bon (Bon pada bulan Julai) didasarkan pada kalendar solar dan disambut sekitar 15 Julai di timur Jepun (rantau Kantō seperti Tokyo, Yokohama dan rantau Tōhoku), bertepatan dengan Chūgen. Hachigatsu Bon (Bon pada bulan Ogos), berdasarkan kalendar lunar, disambut sekitar 15 Ogos dan merupakan masa yang paling sering dirayakan. Kyū Bon (Old Bon) dirayakan pada hari ke-15 bulan ketujuh kalendar lunar, dan begitu berbeza setiap tahun. Kyū Bon dirayakan di kawasan-kawasan seperti bahagian utara rantau Kantō, wilayah Chūgoku, Shikoku, dan Wilayah Okinawa.

[2] Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Daud Ibn Abi Syaibah. Hadis dinilai shahih oleh Ibn Taimiyyah dalam majmu fatawa 25/331 dan al-Iraqi dan al Albani mengatakan Shahih dalam Shahih Jami no 2831, Bulughu Maram no 437

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close