LGBT

Video Says.com Tak Senonoh, Hina Islam, Hina Mufti, Perjuang LGBT, Jaja Kelucahan Untuk Peroleh Tontonan

Sebuah video baru hasilan portal liberal says.com mendapat kecaman wargamaya apabila secara jelas memperlekeh institusi Islam, memperjuang LGBT dan sengaja menjaja kelucahan untuk memperoleh tontonan.

Video yang bertajuk ‘No gays in Malaysia’ tersebut memperlekeh penegasan yang dibuat kerajaan Malaysia untuk menolak amalan gay yang jelas bertentangan dengan nilai dan budaya tanah air.

Mengkritik Orang Tidak Menerima Pandangan Mereka, Tapi Menolak Pandangan Orang Lain

Jurucakap video tersebut, Nandini, mengatakan bahawa tiada agenda LGBT yang dibuat di Malaysia, walaupun secara jelas golongan tersebut telah berarak berulang – ulang kali dengan menjulang bendera pelangi, melaungkan seruan menerima LGBT, malah telah memburukkan negara di UN dalam isu ini.

Nandini juga membantah ucapan Perdana Menteri yang meminta supaya “amalan LGBT ini tidak dipaksakan ke atas kami” dengan mengatakan beliau (Dr Mahathir) mengetepikan kehendak golongan – golongan yang mahu LGBTQI diterima.

Lebih ironi, video tersebut menggelar Malaysia sebagai sebuah negara ‘teokratik’ kerana hanya mengambil pandangan pihak tertentu (mereka yang berpegang dengan nilai agama) dan menolak pandangan mereka yang mahu menegakkan nilai songsang (pejuang gay).

Adakah Nandini tidak menyedari bahawa beliau hakikatnya, dalam video tersebut, sedang memaksakan pandangannya terhadap orang lain yang tidak sehaluan? Mengapa beliau tidak menerima pandangan orang lain seperti pandangan Mufti, Perdana Menteri dan majoriti rakyat Malaysia?

Apatah lagi, lebih menghairankan, Nandini turut menyeru supaya nilai demokrasi dihormati sebagai alasan untuk menerima amalan gay. Sedangkan secara demokrasinya, majoriti rakyat Malaysia menolak homoseks. Adakah golongan minoriti ingin memaksakan kehendak mereka kepada majoriti? Bukankah ini sendiri bertentangan dengan nilai demokrasi?

Atau demokrasi itu hanya terpakai untuk memenuhi kemahuan pihak mereka?

Nandini dalam video tersebut juga menyampaikan mesej berbaur rasis apabila hanya menyalahkan pemimpin Melayu Islam sebagai punca penolakan LGBT.

Sedangkan, penolakan amalan songsang homoseks ini jelas dinyatakan oleh agama – agama lain termasuklah, Yahudi, Kristian, dan Hindu. Tidakkah Nandini menghormati perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan merukunkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai tiang negara?

Dalam video tersebut juga, Nandini mencabar siapa – siapa yang tidak bersetuju dengannya untuk melawannya (fight me). Ini diucapkan setelah mengkritik pihak lain sebagai tidak menerima pandangan pihak mereka.

Hipokrasi yang tidak hilang daripada video tersebut.

Mesej Tidak Ilmiah, Maka Menjaja Badan?

Satu lagi perkara yang cukup menghairankan oleh video tersebut adalah bagaimana ia mengobjektifikasikan wanita untuk memperoleh tontonan.

Hal ini jelas dapat dilihat menerusi pemakaian Nandini yang cukup tidak senonoh dalam satu video umum yang capaiannya sampai kepada khalayak umum termasuklah kanak – kanak.

Perkembangan imej beliau jelas semakin tidak senonoh dibandingkan dengan rententan video – video sebelumnya.

Ketika mana golongan feminis dan liberal memperjuang membantah penonjolan imej wanita sebagai simbol seks dan lucah kepada ‘masyarakat patriarki’, says.com muncul dengan video sebegini.

Adakah pihak says.com tidak yakin dengan hujah dan isi yang tidak berapa ilmiah yang diketengahkan, maka ia mengeksploitasi tubuh wanita untuk memperoleh jumlah tontonan?

Maka bagaimana nilai sebuah portal yang menyeru agar orientasi seksual dihormati tetapi pada masa yang berlaku seksis dengan menjaja jurucakapnya sendiri dengan kelucahan?

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close