reviu

‘Apa Lagi Cina Mahu’ | Rujukan Baik Mengenal Bangsa Cina

Buku ‘Apa Lagi Cina Mahu’ adalah satu entri buku yang unik kerana ia dihasilkan oleh seorang tokoh pendakwah Muslim berbangsa Cina, di negara majoriti bukan Cina, untuk bacaan umum terutama untuk mereka yang bukan berbangsa Cina.

Dalam buku sulung yang dihasilkan oleh Firdaus Wong Wai Hung ini, pembaca dibawa mengenal asas – asas kepercayaan, budaya dan agama yang diamalkan oleh masyarakat Cina terutama di Malaysia.

Bahagian pengenalan buku ini menjelaskan tujuan penulisannya:

Tujuan utama penghasilan buku ini adalah ingin mengetengahkan pengenalan budaya, amalan dan agama yang diamalkan oleh masyarakat Cina di Malaysia. Ini adalah penting kerana bangsa Cina merupakan bangsa kedua terbesar di Malaysia setelah bangsa Melayu.

Menariknya, buku ini mengambil masa 6 tahun untuk diterbitkan. Masa yang begitu banyak diluangkan untuk membuat kajian, kompilasi serta penyusunan maklumat untuk dipersembahkan sebagai usaha untuk menjelaskan budaya Cina kepada masyarakat awam.

Persembahan

Hal yang mungkin paling menarik perhatian mengenai buku ini sudah pastilah tajuknya.

No photo description available.

Teks besar bertulis ‘Apa lagi Cina mahu’ pada muka hadapan sedikit sebanyak membawa konotasi seakan – akan berbaur politik, malah tidak lah menghairankan sekiranya ia mengundang beberapa kontroversi.

Namun pemerhatian yang lebih dekat menjelaskan konteks sebenar tajuk berkenaan, iaitu suatu tawaran untuk rakyat Malaysia mengenal lanjut mengenai bangsa Cina – melalui ayat ‘apa yang rakyat Malaysia perlu tahu tentang mereka’ yang mengiringi tajuk besar.

Buku ini berorientasikan dakwah – mengajak, iaitu ajakan seorang pendakwah Muslim berbangsa Cina kepada masyarakat umum untuk mengenal lanjut diri mereka.

Dengan ketebalan sebanyak 244 muka surat, buku ini sarat dengan isi, gambar rajah, rujukan serta jadual yang disusun kemas, elegan serta mudah diikuti.

Isi

Isi kandungan ALCM mungkin memberi kejutan kepada pembaca yang tidak mengenali latar belakang penulis atau sudahpun membuat kesimpulan dengan hanya membaca tajuk.

‘Apa Lagi Cina Mahu’ adalah antara contoh terbaik frasa ‘Don’t judge a book by its cover’.

Hal ini kerana buku tersebut hakikatnya sudah cukup lengkap untuk berfungsi sebagai buku teks rujukan bagi sesiapa saja yang ingin tahu, secara ilmiah dan akademik, mengenai bangsa Cina. Ia bukanlah suatu entri bersifat pandangan atau opini, sebaliknya hampir keseluruhannya adalah pembentangan info dan fakta.

Bermula daripada pembentangan sejarah asal – usul bangsa Cina, pembaca kemudian dibawa mengenali asas – asas agama kepercayaan mereka, evolusi amalan dan pemikiran, diikuti oleh perbincangan mengenai pantang larang, upacara keagamaan, adat dan perayaan masyarakat Cina.

Penulis kemudian mengkhususkan pembentangan mengenai penjelasan amalan – amalan Cina pada konteks lokal, seperti menerangkan latar belakang Datuk Kong – patung sembahan berwajah Melayu serta asal usul kisah – kisah dongeng di sebalik amalan popular seperti tarian naga.

Penyampaian

Hampir keseluruhan buku ALCM disampaikan dalam gaya bahasa akademik, formal dan seimbang, sesuai dengan motif buku tersebut memberi penjelasan, bukan penghakiman.

Penyampaian mesej buku ini berteraskan keharmonian yang disadur dengan galakan saling memahami, maka ia tidak bersifat retorik, politikal atau mencetus sentimen.

Hal ini mungkin bercanggah dengan pandangan segelintir pihak yang sekilas pandang menganggap buku ini diisi dengan hujah – hujah Islam untuk membantah kepercayaan agama Cina, menjawab tuduhan, dan lainnya, seperti mana tipikal arena ‘perbandingan agama’.

Terdapat beberapa tempat di dalam buku tersebut penulis memberikan nasihat dan pandangan yang berbentuk personal kepada pembaca terutama ketika mengusulkan teknik dakwah yang sesuai menurut keadaan dan ketika menerangkan beberapa pantang larang yang selalu dilepas pandang oleh orang bukan Cina.

Kesimpulan

Buku ‘Apa Lagi Cina Mahu’ adalah perlu milik untuk mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hati budi dan kepercayaan bangsa Cina, di Malaysia secara khususnya. Menerusi pembentangan yang seimbang, akademik dan ilmiah, kandungan buku ini berpotensi menjadi sumber rujukan yang malar segar dalam fabrik masyarakat Malaysia.


Untuk mendapatkan buku ini, klik pada pautan di bawah:

http://shop.askislam.my/index.php?route=product/product&product_id=318

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close