Liberal

Menjawab Pemesongan Liberal Terhadap Hak ‘Sex Workers’

1. Ada dikalangan Liberal yang mengatakan bahawa pelacur pernah memohon hak mereka di zaman Rasulullah lagi. Mereka menggunakan ayat ke 33 daripada Surah al-Nur sebagai hujah lalu menyimpulkan bahawa Islam telah lama mengiktiraf hak pelacur di sisi masyarakat.

No photo description available.

2. Meneliti ayat ke 33 daripada surah al-Nur, kita akan dapati bahawa tiada pelacur yang meminta hak mereka di dalam ini. Ini adalah satu kekeliruan yang jelas. Menurut al-Tabari, al-Qurtubi dan Ibn Kathir ayat ini diturunkan ke atas Abdullah ibn Ubai, Ketua Munafiq yang memaksa hamba perempuannya untuk melacurkan diri.

3. Kata al-Imam Ibn Kathir:

وكان سبب نزول هذه الآية الكريمة في شأن عبد اللّه بن أبي بن سلول فإنه كان له إماء فكان يكرههن على البغاء طلباً لخراجهن

“Adapun sebab penurunan ayat ini adalah ia berkenaan perihal Abdullah ibn Ubai ibn Salul. Beliau mempunyai hamba-hamba perempuan lalu memaksa mereka untuk melacurkan diri semata-mata untuk mendapatkan upah pelacuran tersebut. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim)

4. Menurut riwayat al-Zuhri, hamba perempuan tersebut bernama Muazah dan beliau telah dipaksa oleh Abdullah ibn Ubai untuk melacurkan diri.

Riwayat al-Suddi pula menjelaskan terdapat seorang lelaki Quraysh berkenan dengan Muazah lalu lelaki tersebut menyatakan hasratnya kepada Abdullah bin Ubai. Muazah sebagai Muslimah tidak rela diperlakukan sedemikian lalu beliau mengadukan perkara ini kepada Abu Bakar. Lantas Abu Bakar menyampaikan perkara ini kepada Rasulullah lalu ayat ini diturunkan sebagai larangan kepada paksaan pelacuran tersebut.

5. Jelas melalui riwayat di atas, tiada pelacur yang meminta hak mereka untuk terlibat dengan “sex work”. Muazah mengadu kepada Abu Bakar bukan atas kapasiti seorang pelacur yang meminta haknya. Beliau datang sebagai Muslimah yang menolak daripada me lakukan perkara keji. Jelas ayat tersebut diturunkan bagi mencegah perbuatan yang menzalimi wanita.

Begitu tinggi nilai Islam yang mengangkat wanita dan menyelamatkan mereka dari dipaksa menjadi pelacur. Anehnya golongan liberal memperjuangkan pula hak-hak buat pelacur. Bukankah perjuangan liberal ini menjatuhkan maruah wanita?

6. Larangan melibatkan diri dalam industri pelacuran telah jelas melalui ayat-ayat yang melarang perlakuan zina. Allah mengeji pengamal zina dan menyifatkan zina sebagai seburuk-buruk perlakuan (Surah al-Isra:32). Malah Rasulullah memelihara wanita daripada terjebak dalam industri zina ini. Sabda Rasulullah:

لا مُسَاعاة في الإسلام، مَن سَاعى في الجاهلية، فقد لحق بعصَبَته

“Tiada pelacuran dalam Islam. Sekiranya seseorang melakukannya pada zaman Jahiliah maka anak yang diperolehi akan dinasabkan kepada Tuannya (hamba perempuan tersebut).” (HR Muslim).

7. Bahkan di dalam kaedah Usul Fiqh, para sarjana Islam telah meletakkan satu kaedah khas dalam menangani perkara ini. Kata mereka:

وما ادى الى الحرام فهو حرام

“Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”

Iaitu sekiranya pekerjaan pelacuran ini membawa kepada zina yang telah diharamkan, maka industry sex work (pelacuran) ini sudah tentu haram. Anehnya golongan liberal memperjuangkan pula sex work ini.

8. Islam memuliakan wanita, mengangkat wanita pada kedudukan yang tinggi. Islam memelihara maruah wanita dari dinodai. Apa yang diperjuangkan oleh liberal seakan merendahkan hak wanita. Memberikan hak yang keliru dalam mempertahankan pelacuran.

9. Bahkan sekiranya seorang wanita tersebut sudah terlanjur menjadi pelacur sekalipun, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Dalam sebuah hadith, Rasulullah menjelaskan bagaimana Allah memberikan ganjaran terhadap pelacur yang memberi minum kepada anjing. Begitu tinggi nilai yang Islam letakkan kepada hambanya yang kembali kepada kebenaran.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr Sanusi Azmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close