Liberal

Kekeliruan Liberal Tentang Sifat Allah

1. Secara asasnya, Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa mereka yang telah sampai kepadanya seruan Islam, lalu dia mati dalam keadaan kufur kepada Allah, maka dia akan ditempatkan di neraka. Firman Allah:

إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ

“Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.” (al-Maidah:72)

2. Bahkan Allah memberikan perincian lagi bahawa mereka yang telah sampai kepada mereka kitab seperti ahli kitab Yahudi dan Kristian, namun sekiranya mereka kufur kepada Allah, maka mereka akan ke neraka. Firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُولَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekalah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. (al-Bayyinah:6)

3. Apakah bercanggah dengan sifat Rahman dan RahimNya sekiranya Allah menempatkan golongan kafir ini ke neraka? Tidak sama sekali. Ini kerana Allah Maha Adil dan Allah telah mengutuskan para Rasul menyeru ke arah seruan Tauhid. Bahkan seruan dakwah berlaku di serata dunia. Allah sama sekali tidak akan menzalimi hambaNya. Firman Allah:

وَلا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَداً

“Dan Tuhanmu tidak akan menzalimi seorangpun dari hamba-hambaNya.” (al-Kahfi:49).

4. Apabila mereka memilih untuk kufur kepada Allah, sekalipun mereka melakukan kebaikan, maka amalan tersebut tidak di terima di sisi Allah:

Firman Allah:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Ali Imran:85)

5. Dalam sebuah hadith yang sahih, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah tentang Abdullah ibn Jad’an, seorang yang suka memberi makan kepada orang miskin. Apakah amalannya akan diterima? Tanya lelaki tersebut:

يَا رَسُولَ اللَّهِ , ابْنُ جُدْعَانَ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ يَصِلُ الرَّحِمَ وَيُطْعِمُ الْمِسْكِينَ فَهَلْ ذَاكَ نَافِعُهُ ؟ قَالَ لَا يَنْفَعُهُ إِنَّهُ لَمْ يَقُلْ يَوْمًا رَبِّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

“Wahai Rasulullah, Abdullah ibn Jad’an adalah seorang yang menghubungkan silaturrahim pada zaman Jahiliyyah, dia banyak memberi makan pada orang miskin, apakah amalannya bermanfaat buatnya di sisi Allah? Rasulullah lalu menjawab: Tidak. Tidak ada manfaat buatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan: Wahai Tuhanku, ampunkan dosaku pada hari akhirat nanti. (HR Sahih Muslim).

6. Begitu juga dengan Abu Talib, pakcik Rasulullah yang telah sampai kepadanya seruan dakwah lalu memilih untuk tidak beriman. Beliau telah banyak membantu Islam. Namun Rasulullah menjelaskan bahawa beliau akan ditempatkan di neraka. Kata Rasulullah:

أهون أهل النار عذاباً أبو طالب، وهو ينتعل بنعلين يغلي منهما دماغه

“Azab yang paling ringan yang ditimpakan ke atas ahli neraka adalah azab kepada Abu Talib. Beliau akan dipakaikan sepatu dari neraka yang mana sepatu tersebut menyebabkan menggelegaknya kepala beliau (dek kerana panasnya azab sepatu tersebut). (HR Sahih Muslim).

(Perkara keimanan Abu Talib ini menjadi perselisihan kerana ada yang menyatakan dia telah memeluk Islam. Namun di sini ingin dijelaskan tentang sekiranya dia kufur, maka dia ditempatkan di neraka)

7. Sifat kufurlah yang menyebabkan seseorang itu dicampak ke neraka. Di dalam al-Quran, Allah banyak memuji Nabi Ibrahim bahkan menyifatkan Nabi Ibrahim sebagai role-model (uswah hasanah). Namun Allah menolak untuk menerima doa keampunan yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim buat ayahandanya yang kufur itu. Firman Allah:

إِلَّا قَوْلَ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ

“tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku supaya diampunkan dosamu.” (al-Mumtahanah:4, terjemahan UIA).

8. Ketika Allah Taala menolak permintaan Nabi Ibrahim supaya ayahanda beliau diampunkan, apakah Allah tidak bersifat Rahman dan Rahim?

Ketika Allah meletakkan azab buat Abu Talib di neraka nanti, sedangkan pakcik inilah yang banyak membantu Rasulullah, apakah Allah tidak bersifat penyayang?

Ketika Allah menolak amalan Abdullah ibn Jad’an, apakah Allah tidak pengasih? Tidak sama sekali. Bahkan Allah itu Maha Adil.

9. Berdasarkan penjelasan al-Quran dan hadith, mereka yang kufur akan ditempatkan ke neraka. Hanya Allah sahaja yang menentukan untung nasib seseorang. Ketahuilah bahawa Allah itu Maha Adil.

Apabila Allah menjelaskan bahawa aqidah adalah asas yang paling utama di dunia ini, maka itulah pegangan kita sebagai Muslim. Apabila Allah meminta kita supaya berbuat baik dan adil sesama manusia samada Muslim atau kafir, maka itu jugalah yang kita pegang.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Close