feminisme

Ke Mana Hala Tuju ‘Dialog Harmoni’ Topik Kontroversi di Universiti, Sebenarnya?

Tempoh hari penulis berkesempatan menghadiri program yang diberi nama ‘sembang kencang’ yang mengetengahkan tajuk ‘Islam dan Feminisme, Wujudkah Titik Temu’.

Image may contain: 4 people, people smiling
Difahamkan ini poster versi kedua setelah ditukar ‘aktivis Sisters In Islam’ di bawah nama Rozana Isa kepada ‘Aktivis Hak Wanita’

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian berkenaan program ini. Yang pertama sudah tentu tajuk yang agak kontroversi dan konfrontatif. Kedua adalah latar tempat program ini yang berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dan ketiga adalah pihak yang dijemput, iaitu Sisters In Islam.

Tambah menarik, penulis difahamkan bahawa ini mungkin kali pertama pertubuhan kontroversi SIS dipanggil berbicara secara terbuka, di laman universiti UIAM berpenontonkan mahasiswa, yang ‘berani’ mengemukakan topik sedemikian rupa.

Bagaimanapun, seusai program ‘dialog harmoni’ tersebut (sebenarnya kurang pasti apa format yang hendak diketengahkan), timbul begitu banyak persoalan yang nampaknya semakin mengakar seiring dengan tema Malaysia Baru.

Debat Islam vs Feminisme, Bukan Perkara Baru

Perbincangan / diskusi / debat Islam – feminisme hakikatnya bukanlah sesuatu yang baru dan janggal.

Pelbagai tajuk didebatkan seperti “Adakah Islam selari dengan feminisme”, ‘Adakah Islam menindas wanita”, “Feminisme atau Islam, mana yang lebih diperlukan wanita” dan lain – lain. Ada yang harmoni, ada yang berapi.

Di arena luar negara, antara tokoh yang terkedepan mendebat secara langsung pemuka – pemuka feminis antarabangsa adalah seperti Zara Faris yang sememangnya jelas menegaskan bahawa feminisme dan Islam sememangnya tidak selari. Antara tokoh lain yang boleh dipetik adalah seperti Abdullah al Andalusi dan Mohamed Hijab wakil pendebat Speaker’s Corner.

Zara Faris beberapa tahun sebelum ini pernah mengukir sejarah baru dalam lipatan gerakan feminis Malaysia apabila menjadi tokoh wanita Muslimah antarabangsa yang mendebat langsung wakil NGO ‘feminis Islam’ Malaysia Sister in Islam secara terbuka. Video debat penuh beserta sarikata telah dimuat naik di saluran Fakir Ilmu. Debat ini berlaku di England.

Debat Marina Mahathir (SIS) vs Zara Faris

Debat ini dianggap bersejarah kerana walaupun difatwakan sesat dan menyeleweng, tak ramai yang tahu secara jelas apa sebenarnya fahaman SIS dan apa percanggahannya dengan Islam. Perbincangan banyak berlegar di belakang tabir dengan khalayak menerima kesimpulan final output yang diisytiharkan.

Debat terbuka tersebut memperlihat seorang sarjana Muslimah di Barat memburaikan segalanya tentang feminisme anutan SIS untuk ditonton dan dinilai masyarakat.

Bagaimanapun, setakat ini nampaknya discourse sebegini cuma pernah berlaku sekali.

Kerana harus disedari, di Malaysia sebenarnya debat dan konfrontasi ilmiah bukanlah satu budaya masyarakat, sungguhpun pada isu – isu yang sudah menimbulkan kontroversi sekian lama seperti feminisme.

Maka itulah sebabnya program ‘sembang kencang’ versi Malaysia Baru ini begitu menarik perhatian. Bagaimana pendekatan terbaru mahasiswa universiti tempatan menangani perbincangan sebegini. Kita tolak sebentar persoalan kewajaran topik ini diketengahkan, persoalan jemputan wakil persatuan yang difatwakan sesat. Bagaimana lapisan baru mahasiswa pusat pengajian tinggi memilih untuk mengendalikan topik kontroversi ‘feminisme dan Islam, di mana titik temu’ ini?

Mereka memilih format ‘forum dialog harmoni’.

Dan ini mendatangkan pelbagai masalah dan kegusaran.

“Bila Nak Jawab Tajuk?”

Bagaimana agaknya cara menjawab tajuk yang diletakkan di poster: ‘feminisme dan Islam, di mana titik temu?

Rasanya paling asas adalah pendengar perlu dibawa mengenali terma – terma yang dikemukakan. Perlu diketahui apa maksud Islam – ini rasanya tiada masalah. Masalahnya adalah pada terma ‘feminisme’ yang sampai sekarang tidak diketahui apa definisinya. Ini bukan masalah pada orang Islam, ini masalah yang turut diakui oleh sarjana feminis seperti Jane Freedman dan Karen Offen. Malah muka surat pertama buku teks sains sosial ‘Feminism’ dimulakan dengan penegasan bahawa ‘kita tidak boleh memberi maksud kepada feminisme kerana terlalu sukar’.

Maka jika tidak diketahui apakah itu ‘feminisme’ sebagai satu terma yang hendak diketengahkan, tiada bezalah dengan mengubah nama tajuk kepada ‘oogaboogaloo5000 dan Islam, di mana titik temu’. Kerana oogaboogaloo5000 juga tidak diketahui apakah definisinya.

Kemudian mungkin perlu diurai juga berkenaan soalan ‘di mana’ dan ‘titik temu’. Adakah ‘feminisme’ ini berasingan atau bercanggahan dengan Islam? Bagaimana? Kenapa? Jika hendak ditemukan maka apa pula syarat pertemuan? Bagaimana hendak diukur sudah bertemu atau belum?

Rasanya itulah expectation pendengar seraya melihat poster. Mahu sekurang – kurangnya disentuh persoalan – persoalan ini. Sekurangnya – kurangnya itulah format yang biasa dialami melihat discourse debat Muslim – feminis di Barat.

Perbincangan di UIAM bagaimanapun bermula dengan wakil SIS menceritakan tentang sejarah dan perjuangan SIS, kemudian wakil politik parti Amanah menyambung dengan penceritaan usaha permerkasaan wanita melalui gerakan feminis, sebelum wakil ABIM yang mengisi giliran dengan membantah kenyataan wanita datang daripada tulang bengkok lelaki dan membangkitkan nama HAMKA sebagai ‘feminist Muslim’.

Sesi kedua memperlihatkan kritikan langsung wakil SIS terhadap sejarah amalan memukul isteri yang dianggap ‘berasal daripada saranan al Quran’:

“Ada ahli Fiqh yang membentangkan cara betul memukul isteri. Tapi realitinya tiada wanita yang mengadu suaminya memukulnya dengan kayu miswak!”

Kemudian, untuk menjawab tajuk ‘Islam dan feminisme, di mana titik temu’ ini, penonton dibawa pula mendengar pembentangan ‘apa polisi kerajaan untuk mempertahankan hak wanita?’ selama 10 minit, dan diakhiri kritikan sejarah institusi syariah dan kekaguman terhadap SIS oleh wakil ABIM tersebut.

Pada waktu ini persoalan utama yang berlegar adalah ‘Bila nak jawab tajuk?”. ‘Apa sebenarnya hala tuju perbincangan ini?’.

Pihak yang menyedari hal ini bukanlah penulis sahaja, tetapi moderator sendiri yang mengubah tajuk di pertengahan program kepada ‘muslim community and the feminist movement’, melunturkan persoalan ‘di mana titik temu’ kepada ‘kesedaran terhadap kezaliman’ sebelum mula sesi soal jawab, dan mengatakan mereka mungkin perlu menjemput profesor – profesor pula selepas ini untuk menjawab soalan asal yang dikemukakan di akhir program.

Seorang mahasiswa kemudian bangkit bertanya “Saya datang untuk mendengar kritikan terhadap feminisme. Di mana kritikan tersebut? Saya tak dapat”.

Lebih menarik, apabila beberapa minit terakhir sebelum tamat, wakil SIS tersebut menyatakan ‘terdapat perbezaan antara feminis Muslim dengan feminis sekular’. Wah, inilah sebenarnya yang sepatutnya dibincangkan dari awal! Inilah antara titik tolak besar perbahasan topik ini yang perlu dibincang secara kritis! Mengapa hanya diungkap sekali lalu?

Apa Bentuk Discourse Pertembungan Ideologi yang Kita Ingin Ketengahkan Sebenarnya?

Apabila penonton sebuah wacana intelektual tidak dihidangkan dengan percubaan untuk menjawab topik yang diketengahkan, maka tidak dapat dielakkan kemungkinan muncul persepsi – persepsi dan persoalan yang pelbagai.

Adakah masalah dengan kebolehan ahli panel menghurai tajuk? Tidak juga kerana soalan moderator sendiri yang tampaknya ‘tidak berpandu’ sedari awal. Adakah masalah pemilihan ahli panel? Kalau begitu mengapa tidak didapatkan ahli panel yang lebih layak menghurai tajuk? Kenapa terburu – buru?

Atau adakah sebenarnya forum tersebut tidak lain mahu mengetengahkan dan mempromosikan susuk tubuh wakil pertubuhan feminis kontroversi SIS dan wakil parti politik Amanah kepada mahasiswa universiti Islam? Tetapi dibuat atas nama wacana ilmiah kritis?

Adakah forum tersebut hakikatnya mahu mempromosikan ideologi perjuangan feminisme dan penalaan kepada parti politik Amanah? Tiada kritikan jelas dibuat kepada ideologi feminisme oleh ketiga – ketiga panel yang nampaknya hampir senada, dan sememangnya terdapat sentimen politik yang dikemukakan wakil Amanah apabila memerli parti Pas dalam ucapannya.

Apakah program ini adalah satu program yang cuba menormalisasikan Feminism di universiti dan orang awam atau cubaan mendoktrinkan secara halus berlatarbelakangkan tajuk gempak dan bombastik?

Apa yang menghalang persepsi – persepsi ini daripada timbul?

Atau mungkin ia cuma sekadar permasalahan yang timbul akibat pengurusan dan format wacana yang begitu awkward dengan tajuk tersebut? Mungkin format ‘dialog harmoni’ tidak memberi keadilan kepada tajuk dan mahasiswa yang ingin melihat perbincangan kritis yang jujur berlaku, kerana ingin berlaku ‘harmoni’?

Jika begitu mengapa tidak memilih saja format yang lebih dikenali untuk mendiskusi tajuk sebegini? Debat ilmiah secara langsung.

Ideologi feminis ini datang dari Barat. Tiada siapa pun dari kalangan ahli panel yang menafikan. Maka mengapa tidak dicontohi juga model bagaimana Muslim di Barat berwacana menghadapi ideologi tersebut?

Suatu ketika dahulu pernah diadakan wacana mengkritik feminis juga di UIAM oleh tokoh ilmuwan antarabangsa Asadullah Andalusi. Namun kemudian program tersebut ‘diserang’ oleh feminis yang tidak menyukai pendekatan tersebut, walaupun kritis, berilmiah dan akademik.

Dikhuatiri, model ‘sembang kencang’ ini hanyalah bakal bertindak sebagai pembuka ruang kepada ideologi asing songsang menerobos ruang akademik secara berniat atau tanpa niat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close