Kristian

Pendedahan Kisah Pelajar Malaysia Ditipu ke Korea untuk Disuruh Murtad

Ini adalah kisah pengalaman peserta yang terlibat secara langsung dengan program universiti-universiti di Malaysia yang ke Korea Selatan di atas nama Leadership Conference dan mereka di dakyah tentang agama baru tersebut (Unification Church). Dikisahkan juga peserta disuruh untuk berikrar “syahadah” supaya menerima Father Moon dan Mother Moon sebagai ibubapa syurgawi.

Kisahnya Bermula….

“Jue (bukan nama sebenar), nak pergi Korea tak?”
“Buat apa pergi Korea?” tanya aku.
“Join leadership conference, jom!”

Itu antara dialog awal antara aku dan kawan aku, dan bagaimana titik permulaan permusafiran aku di tanah KPOP ini selama seminggu (30 Julai- 5 Ogos 2018). Aku ke sini kerana menjadi salah seorang peserta program ‘Malaysian Students Peace Leadership Conference and Visiting Korean Culture’.

Surat jemputan ke program

Sebagai seorang pelajar yang suka ‘explore’ sesuatu yang baru, bagi aku peluang menyertai persidangan di Korea ini adalah satu peluang yang baik untuk mencambah ilmu dan kenalan dari pelbagai agama dan bangsa. Tambahan pula, peserta hanya perlu mengeluarkan wang untuk membiayai kos tiket kapal terbang sahaja, – selebihnya ditanggung oleh pihak penganjur termasuk penginapan dan makan minum yang mewah selama seminggu di hotel lima bintang.

Pada awalnya, aku berasa agak aneh kerana pihak penganjur langsung tidak meminta kami untuk membuat persediaan bagi sebarang perbentangan ‘paper’ atau sekurang-kurangnya membekalkan kami dengan bahan bacaan awal agar kami dapat sedikit gambaran mengenai persidangan yang bakal diadakan. Apabila kami bertanya kepada pihak penganjur tentang persediaan yang perlu dilakukan, mereka hanya menjawab ‘prepare your heart’. Jawapan tersebut membuatkan kami lebih tertanya-tanya apa yang bakal dipersidangkan sehingga perlu ‘prepare our heart’.

Tiba-tiba aku terdetik bahawa pasti ada agenda disebalik program ini. Mana mungkin pihak penganjur menaja program kami secara percuma tanpa ada apa-apa agenda dan matlamat yang ingin dibawa.

Tapi aku positifkan diri aku dan cuba bersangka baik. Kalaulah betul persidangan ini membawa ‘sesuatu agenda’ atau idealogi yang bertentangan dengan pendirian aku, pandai-pandailah aku tapis nanti. Aku sudah besar untuk menilai. Lagipun, persidangan hanya selama tiga hari, selebihnya ‘Visiting Korean Culture’. Hmm takde hal lah..

Bermulalah pengembaraan aku di bumi sonata ini. Hari pertama ketika berkumpul di lapangan terbang, aku berkenalan dengan peserta daripada university-universiti lain. Para peserta terdiri daripada tujuh buah universiti antaranya ialah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya, (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Peserta terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Walau bagaimanapun, jumlah kaum Melayu dan Cina lebih mendominasi program ini. Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai agama. Antaranya ialah, Islam, Buddha, Kristian dan beberapa orang yang atheist dan freethinker.

Bagi aku, ini adalah sesuatu yang menarik kerana aku boleh mencari kenalan dan sahabat merentas agama dan bangsa. Berkenalan dengan ramai orang adakalanya meluaskan horizon pemikiran.

Kisah Di Sebalik Penganjuran

Program ‘Malaysian Students Peace Leadership Conference and Visiting Korean Culture’ adalah sebuah program anjuran Women Federation for World Peace (WFWP). Pada mulanya aku agak tertanya-tanya juga tentang pertubuhan tersebut dan cuba mencari maklumat mengenai pertubuhan tersebut, tetapi maklumat yang aku dapat tak mampu memberi gambaran yang tepat mengenai pertubuhan tersebut, lalu aku rumuskan – ini adalah pertubuhan yang memperjuangkan keamanan dunia.

Hari pertama persidangan, aku duduk jauh dibelakang sekali, barisan depan dipenuhi dengan kaum cina, yang belakang-belakang ini kaum Melayu.

Sesi pertama persidangan, kami diperkenalkan dengan Dr. Yoo Chong Young dan beliau memberikan ucapan alu-aluan kepada kami, – peserta program. Sesi pertama itu beliau banyak menceritakan tentang keamanan dan keharmonian, tentang hubungan antara Korea dan Malaysia. Dan tidak ketinggalan, tentang kepentingan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di dunia ini.

Lama-kelamaan intipati persidangan semakin menimbulkan rasa aneh dan keraguan dalam hati aku kerana intipati persidangan bukan hanya berkisar tentang keamanan dan keharmonian semata-mata, tetapi turut menceritakan tentang ideologi yang aneh dan janggal bagi aku.

Dr Yoo dan Isterinya menandatangani buku True Parent yang merupakan indoktrinisasi agama Unification Church kepada pelajar Malaysia
Peserta bergambar dengan buku dr Yoo

Kerana perasaan ingin tahu semakin menebal, aku mengambil keputusan untuk duduk di barisan hadapan untuk hari-hari seterusnya agar aku dapat mencatat nota dan mendengar intipati persidangan ini dengan teliti. Bagi aku ini adalah sesuatu yang agak menarik untuk dikaji. Ya, sesuatu yang baru untuk aku.

Dr Yoo sedang memberi syarahan di dalam program di Korea selatan bersama pelajar Malaysia

Ketika persidangan, mereka sering bercerita tentang ‘Father Moon’ dan ‘Mother Moon.’ Kali pertama aku mendengar tentang ‘Father Moon’ dan ‘Mother Moon’. Lebih mengejutkan apabila mereka memberitahu bahawa Father Moon dan Mother Moon adalah ‘messiah’.

Hati aku sudah rasa tidak sedap, lalu aku tanyakan pihak penganjur, adakah ini sebuah agama baru? Seram jugak aku andai tersalah masuk persidangan agama lain.

Lalu, Mrs Tan, selaku wakil daripada pihak penganjur menafikan. Katanya apa yang dibawa hanyalah sebuah ideologi keamanan, bukan sebuah agama.

Dan aku sebagai peserta hanya menerima sahaja apa yang ditegakkan oleh mereka, takkan nak paksa pulak mereka mengaku ini adalah satu agama walau jauh di sudut hati, aku sudah mula merasakan satu kelainan pada program ini. Hati aku berbisik, ini bukan idealogi tapi ini adalah satu agama baru!

Father Moon dan Mother Moon

Sepanjang program ini berlangsung, nama ‘Father Moon’ dan ‘Mother Moon’ tidak pernah lekang daripada menjadi zikir dan ratib mereka.

Father Moon atau nama sebenarnya ialah Sun Myung Moon berasal daripada Korea Utara dan berkahwin dengan Mother Moon atau nama sebenarnya ialah Hak Ja Han. Sepanjang perkahwinan mereka, mereka telah dikurniakan seramai enam belas orang anak. Father Moon merupakan pengasas kepada Unification Church. Mereka bergerak di bawah pertubuhan Woman Federation for World Peace (WFWP) dan Family Federation for World Peace and Unification (FFWPU). Pengikut mereka menganggap mereka adalah ‘true parents’ atau ‘heavenly parents’. ‘Moonies’ adalah gelaran khas yang diberikan kepada pengikut Father Moon dan Mother Moon.

Father Moon telah meninggal dunia pada tahun 2012, kini isterinya pula menyambung tugasannya untuk memimpin Unification Church.

Pengikut mereka percaya bahawa Father Moon adalah seorang messiah, dan Father Moon sendiri telah mengakui bahawa dirinya adalah seorang Messiah dan penyempurna tugas ‘Jesus’.

Sun Myung Moon mendakwa dirinya Jesus akhir zaman

Father Moon dilahirkan di dalam keluarga yang perpegang kepada ajaran Confucius, kemudian ketika umurnya sepuluh tahun, dia bersama keluarganya memeluk agama Kristian dan menyertai ‘Presbyterian Church’. Kemudian, pada umurnya enam belas tahun, ketika dia sedang bertapa di Gunung Myodo, dia mendakwa bahawa ‘Jesus’ datang menemuinya dan menyuruhnya menyelesaikan tugasan beliau (iaitu memenuhi ‘The Three Blessing’) yang tidak dapat dipenuhi oleh Jesus kerana disalib.

Setelah mendengar intipati yang disampaikan dalam persidangan, barulah aku dan kawan-kawan mula menyedari, tujuan utama persidangan ini diadakan adalah untuk menyebarkan fahaman gerakan dan agama mereka. Mereka menyampaikan fahaman mereka melalui cara yang halus diatas nama ‘keamanan’ dan ‘keharmonian’. Dalam menerangkan modul keamanan, mereka tidak lupa untuk memasukkan fahaman yang dipegang oleh Unification Church dan mendoktrin peserta persidangan bahawa Father Moon dan Mother Moon sebagai True Parents (ibubapa sejati) dan Heavenly Parents (ibubapa syurgawi).

Borang Ahli

Selepas selasai menjalani persidangan selama tiga hari, kami hanya mampu menarik nafas lega kerana tidak sabar untuk ‘explore’ budaya Korea dan melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar Korea memandangkan selama tiga hari persidangan, aktiviti kami hanya berlegar di dalam dewan persidangan dan di sekitar hotel. Sepanjang persidangan, kami menginap di YongPyeong Ski Resort – Antara resort yang terkenal di Korea dalam sukan ski sehinggakan resort ini menjadi tempat sukan Ski Olimpik 2018 yang diadakan di Korea baru-baru ini.

Pada awalnya aku juga hairan, bagaimana gerakan ini mendapat dana yang sebegitu banyak sehingga mampu menganjurkan persidangan di hotel yang agak mewah dan menjadi tumpuan pelancong terutamanya ketika musim sejuk. Rupa-rupanya pemilik resort ini merupakan antara pengikut Father Moon dan Mother Moon. Tidak hairanlah apabila kami diberitahu bahawa resort ini memang sering menjadi tempat persidangan dan program Unification Church dari dan pengikut-pengikut Father Moon dan Mother dari pelusuk dunia. Hebat betul pengaruh Father Moon dan Mother Moon.

Selepas selesai persidangan, kami semua diberikan sehelai borang untuk diisi. Rupa-rupanya itu adalah borang pendaftaran untuk menjadi ahli Youth Students for Peace Club (YSP Club). Di dalam borang tersebut, tertulis

“… I pledge to fulfill the three great blessing centering on Heavenly Parent by keeping purity before and after marriage and building ideal family, practicing the life of living for the sake of others in accordance with the core values and principles centering on true True Love..”

Surat akur sumpah

“Ini sudah bercanggah dengan keimanan aku sebagai muslim. Seakan ikrar untuk melafazkan ‘syahadah’ supaya beriman kepada kepercayaan mereka pula”.. bisikku di dalam hati

Setelah mendapat borang tersebut, aku mengambil keputusan untuk tidak mengisinya. Bagi aku ini adalah cara halus mereka untuk merekrut ahli dan pengikutnya dan aku tidak berminat untuk menjadi salah seorang dari pengikutnya. Ramai juga kawan-kawan aku yang melayu dan beragama Islam mengambil keputusan untuk mengisi borang tersebut dan menjadi ahlinya. Kebanyakannya terpaksa mengisi borang tersebut untuk menjaga hati pihak penganjur yang memujuk kami untuk menyertai Youth Students for Peace (YSP) Club.

Dek kerana borang tersebut ada unsur ‘True Parents’ dan perjanjian untuk mengikuti fahaman yang dibawa oleh mereka, maka aku tidak sanggup untuk mengisinya. Bagi aku, ini adalah tentang akidah dan kepercayaan. Kawan-kawan Islam aku yang mengisi borang tersebut menghantar borang tersebut tanpa menandatangani borang tersebut.

Melawat ‘Istana Suci’

Setelah selesai persidangan, aku berasa sangat teruja kerana mengikut tentatif yang diberikan, inilah masa untuk kami melawat tempat bersejarah di Korea dan mengkaji kebudayaan Korea.

Memandangkan aku seorang pencinta sejarah dan gemar mengkaji sosiologi sesebuah masyarakat, aku kira ini adalah satu peluang yang baik untuk aku mengumpul maklumat dan menulisnya kembali.

Walau bagaimanapun, impian aku hanya sekadar lintasan bermain di minda, kami tidak dibawa untuk melawat ke tempat-tempat bersejarah Korea, tetapi kami dibawa untuk melawat tempat-tempat Father Moon dan Mother Moon.

Melawat ‘Istana suci’ unification church

Kawan aku yang berbangsa Cina yang duduk di sebelah aku mula mengomel dan menzahirkan rasa tidak puas hati. Lawatan ini bertukar seolah-olah lawatan untuk mengkaji dan mempelajari kehidupan Father Moon dan Mother Moon serta ajaran yang dibawa olehnya.

Aku hanya diam sambil memandang ke luar tingkap. Apa nak buat, anggap saja ini ‘harmony visit’ dan satu proses pembelajaran untuk aku mengkaji ideologi dan agama lain.

Setelah satu jam lebih perjalanan, kami tiba di sebuah istana yang terletak di atas bukit. Kedudukannya agak tersorok daripada hiruk-pikuk kota. Aku agak terkesima melihat keindahan istana tersebut. Sebuah istana yang megah dan mewah seperti yang sering aku tonton dalam kisah dogeng.

Istana tersebut dikawal dengan ketat dan kami dilarang sama sekali untuk menangkap gambar di dalam istana tersebut. Bahkan, untuk membawa telefon pintar kami masuk ke dalam istana juga dilarang keras. Kami diminta untuk meninggalkan telefon pintar kami di dalam bas. Hanya orang tertentu sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke dalam istana tersebut. Istana ini tidak dibuka untuk orang awam dan tidak boleh dilawati sesuka hati.

Istana tersebut digelar ‘Holy Palace’ oleh pengikut ‘Unification Church’. Istana tersebut menempatkan pejabat ‘Mother Moon’ dan pameran-pameran gerakan ‘Unification Church’.

Ditengah-tengah Istana tersebut, tersegam megah patung ukiran ‘Father Moon’. Patung tersebut kononnya untuk mengenang dan memperingati Father Moon yang telah pergi tujuh tahun lalu.

Di dalam istana tersebut turut dipamerkan barang-barang tinggalan Father Moon seperti bekas makanan, baju dan lain-lain. Lebih mengejutkan, mereka turut mempamerkan stoking yang diperbuat daripada rambut ‘Mother Moon’.

Kami dibawa untuk mengelilingi kawasan sekitar istana tersebut sambil mendengar penerangan yang diberikan oleh Mrs Monica dan Mr Grey yang merupakan warganegara England yang menetap di Korea demi berkhidmat untuk ‘Unification Church’. Kami difahamkan setakat ini terdapat beratus-beratus pengikut Father Moon dan Moon bekerja secara sepenuh masa di istana tersebut.

Mereka hasrat untuk menjadikan istana tersebut sebagai tempat untuk dilawati oleh orang awam dan sekaligus menjadi platform untuk orang awam mempelajari ajaran ‘Unification Church’ beberapa tahun akan datang. Sekarang ini, mereka masih dalam proses untuk meluaskan istana tersebut. Beberapa kawasan masih dalam pembinaan.

Kami difahamkan bahawa istana dibuka pada tahun 2006. Tahun ini menjadi tahun ke dua belas istana tersebut didiami.

Dalam hati, terbit rasa kagum saya terhadap gerakan ini. Bukan kagum dengan apa yang dibawa, tetapi kagum dengan kepesatan perkembangan mereka dan kesanggupan mereka dalam berkorban demi gerakan mereka.

Tiba-tiba aku tergerak hati untuk bertanyakan kepada Mrs Monica, adakah gerakan Unification Church ini adalah satu agama atau pun hanyalah sebagai ‘peace ideology’ seperti yang sering didakwa oleh Mrs Tan dan Dr Yoo?

Setelah aku berbual dan bertanyakan beberapa soalan kepada Mrs Monica, dia mengaku bahawa gerakan Unification Church adalah satu agama baru! Bukanlah sekadar ‘peace idealogy’ seperti yang sering didakwa oleh Mrs Tan dan Dr Yoo. Untuk menguatkan keyakinan, aku turut bertanyakan soalan sama kepada Mr Grey. Seperti yang aku duga, Mr Grey turut memberikan jawapan yang sama. – Ini adalah sebuah agama, bukan sekadar ideologi.

Hikmah Tersembunyi

Walaupun persidangan yang yang aku hadiri ini tidak memenuhi apa yang aku inginkan dan harapkan, tetapi jauh di sudut hati aku tetap bersyukur. Aku bersyukur kerana Allah meletakkan aku untuk menyaksikan sendiri bagaimana gerakan ini menyebarkan fahaman mereka secara senyap.

Modus operandi mereka ialah, mereka menganjurkan persidangan di luar Negara, khususnya Korea dan mengajak mahasiswa, terutamanya pimpinan mahasiswa untuk menyertainya tanpa menceritakan sedikit pun apa yang dibawa oleh gerakan mereka. Selepas sampai ke Negara tersebut, barulah mereka serlahkan siapa mereka dan sebarkan fahaman agama mereka. Para peserta tidak mempunyai pilihan lain selain ikut sahaja program dan persidangan yang dikendalikan oleh mereka.

Hikmah tersembunyi yang aku nampak ialah, sekurang-kurangnya sepanjang program ini, aku boleh memainkan peranan aku sebagai seorang muslim dengan memberi peringatan kepada peserta muslim yang lain agar tidak mudah terpengaruh dan termakan dengan apa yang dibawa oleh mereka. Terutamanya dalam konsep aqidah dan ketuhanan.

Dan yang paling aku syukuri ialah, aku berjaya berkongsi tentang Islam kepada Dr Yoo Chong Young. Aku dapat menceritakan kepada beliau tentang matlamat hidup yang dipegang oleh seorang muslim dan menghadiahi beliau bahan dakwah tentang Islam yang sempat aku dapatkan di NGO Dakwah di Malaysia sebelum aku ke Korea.

Benarlah, setiap peristiwa terselit hikmahnya. Alhamdulillah aku menjumpai hikmah pemergian aku di sana. Peristiwa tersebut menyedarkan aku bahawa masih banyak kerja dakwah yang perlu aku jalankan. Masih menggunung kerja-kerja pengislahan yang perlu dilakukan dalam masyarakat.

Ketika penganut agama lain rancak menyebarkan agama mereka, adakah aku sebagai seorang muslim hanya perlu kekal berpeluk tubuh dan berada dalam zon yang selesa. Benar, kedudukan agama Islam dilindungi oleh perlembagaan, tetapi itu tidak bermakna kita boleh melepaskan tanggungjawab dakwah kita.

Semoga Allah sentiasa memimpin hati-hati kita untuk berada di jalan yang lurus…


Yang benar,

Peserta ‘Malaysian Students Peace Leadership Conference and Visiting Korean Culture 2018’

Untuk Siri Pendedahan Isu ini boleh baca di siri-siri dibawah:

Siri 1: https://bit.ly/2IbN5KJ 
Siri 2: https://www.facebook.com/FirdausWongMRM/posts/1899256933518617?tn=K-R 
Siri 3: https://bit.ly/2E7FCbJ

R&D Team Multiracial Reverted Muslims

Related Articles

3 Comments

  1. Boleh saya tahu penulis asal artikel ini. Ada kesilapan fakta, tiada pelajar UMT yang terlibat ke KOREA. Ini satu informasi yang perlu diperbetulkan dan mendapat kepastian sebelum diterbitkan.

    Kalau ada, mohon penulis kenalpasti dahulu siapa pelajar UMT berkenaan yang terlibat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close