Syubhat

Kekeliruan ‘Tak percaya Tuhan pun Tak Apa, Asalkan Sumbangan Besar’

Pada setiap era, dalam setiap masyarakat, terdapat frasa biasa orang gunakan untuk memuji seseorang. Dalam era kita, ekspresi umum ‘orang baik’ digunakan. Jadi… apa sebenarnya maksud orang baik itu? Jika seseorang menyelamatkan nyawa empat orang, tapi kemudian didapati dia membunuh nyawa ibu bapanya dengan kejam dan tanpa penyesalan, adakah orang itu masih lagi dianggap baik? Jika dia selamatkan empat dan membunuh dua, maka net positif adalah dua. Tapi anda akan kata tak, dia tak mungkin dianggap baik kerana membunuh ibu bapanya. Maka anda sebenarnya menganggap bahawa ‘kebaikan’ mengandungi suatu hierarki. Maka istilah ‘orang baik’ ini menjadi semakin spesifik dan kurang umum.

Ada kedudukan dalam kebaikan. Bukan semua kebaikan sama. Jika kebaikan yang lebih baik dan besar ditinggalkan, maka tak bermakna kebaikan – kebaikan kecil yang dilakukan. Pangkat dalam kebaikan ini harus diteliti. Dan ini membawa kepada poin yang penting, siapa atau apa yang tentukan hierarki ini?

Agak mengejutkan apabila baru – baru ini, Muslim mengatakan dengan tanpa berselindung bahawa mereka meyakini bahawa apa yang disumbangkan seseorang kepada kemanusiaan lebih baik daripada mereka mempercayai Allah atau mengkufuri Nya. Seorang berkata “Saya tak rasa Tuhan akan menghakimi seseorang berdasarkan agamanya, tapi apa sumbangannya kepada manusia”.

Manusia lebih penting dari Allah, apa yang berlaku ini? Muslim yang katakan ini? Adakah kita beragama atau tak?

Tawhid bukanlah semata – mata mempercayai hanya ada satu Tuhan, tapi meyakini bahawa tiada lain dalam alam semesta ini yang lebih penting dari Allah. TIADA APA DALAM ALAM SEMESTA YANG LEBIH PENTING DARI ALLAH. Manusia tidak lebih penting dari Allah. Kemanusiaan tidak bermakna dibandingkan dengan Allah. Inilah tiang utama yang ditukar ganti pula kini dengan nuansa humanisme, yang kini menguasai sekalian aspek kehidupan moden.

Pada waktu Renaissance, intelektual Eropah di Florence dan Venice hilang keimanan mereka terhadap gereja, tapi mereka perlukan sesuatu untuk gantikan kekosongan hati mereka terhadap Tuhan. Maka mereka pilih diri mereka, manusia sebagai pengganti Tuhan. Humanisme kemudian jadi satu sambutan gemilang nilai manusiawi. Dalam generasi seterusnya, satu sintesis dihasilkan: Humanis Kristian.

Muslim juga miliki kepercayaan Humanis Muslim. Ia bermula dengan ‘Modernisasi Islam’, di mana Islam dianggap satu alat untuk menjadikan hidupan dunia mudah dan senang. Muslim berubah dari seseorang yang tujuan hidupnya mengabdikan diri kepada Allah, kepada seseorang yang menggunakan Islam untuk memewahkan dunianya. Visi sebenar Islam hilang dalam diri mereka. Tanda – tanda modenisasi Islam adalah apabila anda merasakan satu perasaan pelik “Wow, kerja kita buat banyak, tapi bagaimana dengan Allah dalam semua ni?”

Tiada langsung sisi mengingati Allah dalam agenda hidup mereka. Doa menjadi penyeri majlis, bukan senjata mukmin. Agenda modernishanyalah berkisar terhadap isu yang mengesani hidup keduniaan Muslim. Membincangkan tentang apa tuntutan Allah, dari segi doktrin, hukum, rohani – semua ini tak penting dan ditinggalkan saja. Jika ilmu pengetahuan diguna pakai, ia akan dipaksakan dan diseksa sehinggalah ia melahirkan fatwa yang kita ingin dengar.

Berbalik kepada humanisme. Mengakarnya pemikiran ini dalam sains sosial, awlawiyat manusia ke atas Tuhan meresap sedikit demi sedikit, hinggalah manusia itu dinilai semata – mata atas sumbangan mereka kepada manusia lain dan penghinaannya kepada Tuhan hanyalah kesilapan kecil yang tak patut diambil berat. Muslim yang berfikir demikian harus disedarkan tentang neraca timbangannya yang terbalik.

Dr Shadee elMasri

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close