info Islam

Review: Debat Asyraf Wajdi vs Arun – Pertembungan Antara Toleransi Dan Ekstrimisme

Alhamdulillah, selesai menonton video perdebatan atau perbincangan antara Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan Arun selama 40 minit 

Perdebatan ini berkisar dua topik utama:

1. Hak kesamarataan kaum dan kaitannya dengan ICERD;
2. Toleransi dalam beragama dan fahaman pluralisme.

1. Hak Kesamarataan Kaum Dan Kaitannya Dengan ICERD

Dalam video ini, Arun menyatakan bahawa beliau sebagai rakyat Malaysia tidak memerlukan ‘tongkat’ serta mempersoal berkenaan kewujudan perbezaan antara kaum di Malaysia.

Perlu kita fahami bahawa hak keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu bukanlah tongkat yang memberi makna orang Melayu ini lemah serta tidak mampu berusaha dan mencapai kejayaan tanpa kedua-duanya, tetapi kedua-dua perkara ini merupakan hak orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

Bahkan kedua-dua perkara ini telahpun dipersetujui oleh nenek moyang kita dalam kontrak sosial dan termaktub juga dalam Perlembagaan Persekutuan, sehingga negara kita berjaya mencapai kemerdekaan menerusi rundingan dan toleransi semua kaum di Tanah Melayu.

Arun juga mempersoalkan bahawa tanah di bumi ini bukan milik mana-mana kaum, tetapi ia milik kesemua manusia.

Secara umumnya, kita bersetuju bahawa bumi ini dicipta untuk semua manusia, tetapi dalam konteks sejarah dan kenegaraan, tidak dapat kita nafikan bahawa setiap tanah itu memiliki kaum yang menjadi tuan ke atasnya tanpa menafikan hak kaum lain untuk hidup dengan aman dan damai bersama.

Sepatutnya kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta cintakan sejarah negara menghormati toleransi antara kaum yang wujud selama ini agar keamanan dan kesejahteraan negara dapat terus dipelihara.

Berkenaan ICERD pula, Dato’ Dr Asyraf Wajdi menyatakan bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan mempunyai acuannya yang tersendiri.

Bertitik tolak daripada keunikan tersebut, terdapat beberapa bahagian dalam kandungan ICERD yang tidak sesuai untuk diimplimentasikan dalam negara Malaysia kerana jelas ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

2. Toleransi Dalam Beragama Dan Fahaman Pluralisme.

Arun berpegang kepada pluralisme agama berdasarkan kenyataan beliau bahawa ‘semua agama adalah sama’ dan beliau mempraktikkan semua agama.

Berbeza pula dengan umat islam yang beragama tauhid serta mempercayai bahawa hanya agama islam sahaja agama yang benar, aqidah umat islam tidak akan sama sekali menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

Namun, atas dasar toleransi dan menghormati agama lain, aqidah dan fahaman ini tidak pernah dipaksa untuk diterima oleh penganut agama-agama lain.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 256:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sekiranya benar Arun menghormati umat islam dan kepercayaan mereka, maka beliau sama sekali tidak patut melabel fahaman islam sebagai narcicism, superiority complex, wahabi, salafi mahupun jihadi.

Sekali lagi ingin ditegaskan, aqidah umat islam mempercayai bahawa hanya islam sahaja agama yang benar, namun kepercayaan ini tidak dipaksa ke atas penganut agama-agama lain, serta umat islam menghormati kepercayaan penganut agama-agama lain.

Pun begitu, umat islam sama sekali tidak menghalang umatnya untuk mempelajari berkenaan agama-agama lain, selagi mana ianya memberi manfaat dan tidak menjejaskan aqidah mereka.

Lihat sahaja tokoh-tokoh perbandingan agama dalam kalangan umat islam seperti Dr Zakir Naik, Saudara Firdaus Wong dan lain-lain.

Sebagai kesimpu lan, sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, perlu kita amalkan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati sesama kita.

Dan semoga kita terpelihara daripada fahaman ekstrimisme yang menyatakan bahawa pandangan kita sahaja yang benar dan semua orang perlu percaya dengan apa yang kita percaya.

Tahniah juga diucapkan kepada Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki atas ketenangan dan akhlak yang beliau pamerkan ketika berdebat atau berbincang dengan Arun.

Sama-sama kita ambil iktibar dan pengajaran, insyaAllah.

(Disclaimer: Pandangan Arun tidak mewakili pandangan keseluruhan mana-mana kaum atau agama)

Amirul Eqhwan Rahim.
Ketua Unit Penerangan & Komunikasi
Persatuan Belia Islam Nasional Kuala Lumpur

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close