perbandingan agama

Falun Dafa: Senaman Atau Agama?

Baru – baru ini pertubuhan Falun Dafa mencetuskan kontroversi apabila membuat demonstrasi di Bukit Bintang.

Demonstrasi Falun Dafa menolak ideologi komunis di Bukit Bintang

Pertubuhan tersebut turut menyebarkan beberapa risalah yang jelas berfokus kepada menentang ideologi Komunis China agar tidak tersebar ke Malaysia.

Beberapa risalah sebaran Falun Dafa

Sebenarnya, apa itu Falun Dafa? Apa tujuan penubuhan gerakan ini?

Falun Dafa

Image result for falun dafa
Pengamal Falun Dafa

Falun Dafa atau Falun Gong adalah suatu konsep latihan kerohanian yang berupa suatu sistem latihan yang dapat memperbaiki moral, tubuh badan dan juga spiritual. Latihan itu seakan ada persamaan dengan Tai Chi yang dilakukan oleh orang Cina, cuma Falun Dafa memiliki konsep gerakan yang tersendiri. Mereka melakukan gerakan lembut dan juga bermeditasi. Melalui cara bernafas dan gerakan itu perlu dipatuhi mengikut tatacara yang telah digariskan. Ramai yang mendakwa apabila melakukan amalan Falun Dafa, penyakit mereka sembuh dan tubuh badan mereka sihat dan terhindar daripada penyakit.

Menjadi suatu kontroversi apabila penulis meletakkan Falun Dafa ini di dalam senarai agama-agama. Ini kerana penganut Falun Dafa selalu menafikan mereka adalah sebuah agama. Perbincangan gerakan ini agak rumit untuk dirungkaikan mesej bawaannya.

Sejarah

Image result for falun dafa
Amalan Meditasi Falun Dafa

Pengasas kepada ritual Falun Gong atau Falun Dafa ini ialah Li Hongzhi lahir pada tahun 1952 di kota Gongzhuling, Provinsi Jilin sebelah Timur Laut China. Li Hongzhi mula memperkenalkan Falun Dafa secara rasmi di Changcun, China pada tahun 1992.(1) Dalam tempoh yang amat singkat, amalan ini mendapat perhatian secara meluas oleh masyarakat Cina. Malah ajaran ini juga tersebar di Eropah, Asia, Amerika, Australia sehinggalah Falun Dafa sudah bertapak di 114 negara. Amalan ini juga sudah bertapak di Malaysia dan Indonesia. Buku-buku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia ialah Zhuan Falun dan Falun Gong.

Pada tahun 1999, pemerintah China melarang buku Zhuan Falun kerana menurut mereka isinya tidak masuk akal kerana terdapat banyak konsep spiritual tentang roh dan kepercayaan tahyul. Parti Komunis China menganggap semua hal tentang roh, spiritual atau kepercayaan berkonsepkan agama adalah bertentangan dengan kepercayaan materialisme ideologi Marxist.

Oleh disebabkan pengaruh Falun Dafa begitu cepat tersebar ia memberi ancaman kepada kerajaan China. Mereka bimbang perkembangan jumlah pengamal Falun Dafa akan mengancam kedudukannya. Dalam sejarah pengamalan Falun Dafa di China, perhimpunan mereka pernah diserbu, dan mereka dipukul serta dipenjarakan. Amalan itu diharamkan di China.(2)

China adalah negara yang terkenal dengan pendiskriminasian terhadap agama. Tidak kira Islam, Kristian, Buddha, dan Falun Dafa sering kali menjadi mangsa kepada penindasan anti agama oleh kerajaan Komunis. Terdapat pelbagai bentuk tekanan dan penindasan yang dilakukan kepada agama-agama yang ada di sana.

Ajaran

Ajaran Falun Dafa adalah berdasarkan kepada 3 prinsip iaitu Zhen, Shan dan Ren yang bermaksud sejati, baik, dan sabar.Prinsip ini dikemukakan oleh Li Hongzhi dalam buku utamanya iaitu Zhuan Falun. Pengertian kata ‘Sejati’ memberi makna agar berpelakuan benar, lurus dan jujur manakala ‘Baik’ pula adalah kebajikan, suka menolong, dan tidak mementingkan diri sendiri dan ‘Sabar’ bermakna toleransi, pengendalian emosi, tahan uji serta mampu melepaskan keterikatan hati. Itulah perkara yang ditekankan di dalam Falun Dafa.(3)

Terdapat elemen penting yang dikenali dalam Falun Dafa iaitu Qigong. Qigong merujuk kepada amalan tradisional yang melibatkan pergerakan atau mengawal pernafasan. Menurut mereka Qigong boleh diamalkan untuk meningkatkan kesihatan dan dijadikan sebagai profesion perubatan, jalan kerohanian, atau sebagai komponen seni bela diri.

Malah ia juga terkenal dengan kaedah penyembuhan kepada segala penyakit melalui ritual qigong yang dilakukan. Jika di dalam agama Kristian mereka ada sesi ‘healing prayer’ untuk menyembuhkan pesakit kronik dengan jampi-jampi tertentu. Begitu juga di dalam Falun Dafa.

Qigong inilah yang menjadi simbolik kepada Falun Dafa. Mereka akan melakukan Qigong di tempat yang terbuka seperti padang dan taman dengan disertai komuniti yang ramai.Kebiasaannya mereka akan memakai baju yang berwana kuning.

Dalam Falun Dafa juga terdapat kepercayaan mengenai roh. Li Hongzhi mengatakan seseorang itu terdiri daripada Roh purba. Roh adalah suatu makluk yang sudah lama sedia ada. Sekiranya seseorang itu meninggal maka roh itu akan memasuki dalam jasad baru yang akan dilahirkan. Sebab itu Falun Dafa juga percaya kepada konsep Karma Samsara. Iaitu percaya kepada kelahiran semula dalam badan lain tetapi memiliki roh yang sama. Roh itu dikenali sebagai roh purba. Malah dalam buku Zhuan Falun terdapat banyak konsep yang menceritakan mengenai pergerakan roh setelah manusia meninggal.

Kitab

Related image
Kitab Falun Gong

Dalam ajaran Falun Dafa, terdapat dalam dua buah buku utama mereka iaitu Falun Gong dan Zhuan Falun. Falun Gong adalah sebuah buku pengenalan yang membincangkan Qigong, memperkenalkan prinsip-prinsip amalan, dan menyediakan ilustrasi dan penjelasan-penjelasan mengenai latihan. Manakala buku Zhuan Falun pula adalah ajaran utama dalam kepercayaan ini dan ia mengemukakan maklumat yang komprehensif mengenai Falun Dafa. Dikhabarkan mengenai makna ruang dan masa, rahsia alam semesta dan juga mengenai roh.

Agama Atau Bukan?

Terdapat banyak dakwaan yang mengatakan Falun Dafa bukan agama dan kami sudah sedia maklum mengenai pendakwaan itu. Cuma timbul banyak persoalan yang memungkinkan Falun Dafa adalah sebuah agama yang berselindung di sebalik nama persatuan dan atas nama kesihatan.

Dikala mereka menafikan mereka bukan gerakan keagamaan tetapi jika dilihat di dalam kenyataan laman sesawang rasminya mengatakan bahawa ajaran dan ritual yang dilakukan mereka itu berasal daripada agama Buddha dan Tao sepertimana kerapkali disebut dalam laman Falundafa.(4)

Sekiranya dikatakan Falun Dafa tidak berasal daripada agama, mengapa elemen ajaran Buddha dan Tao disinkreatis (dicampur) sehingga mewujudkan suatu ritual berkonsep baru yang tidak diperkenalkan oleh Buddha dan Tao?

Kedua, sekiranya mereka mengatakan tidak ada kaitan dengan agama, harus kenapa mereka percaya kepada konsep Karma dan Samsara? Tidakkah diketahui bahawa konsep ini juga diperkenalkan dalam agama Hindu lalu diterapkan ke dalam agama Buddha?

Ketiga, sekiranya dikatakan Falun Dafa tidak ada kaitan dengan ajaran agama harus mengapa pengasas Li Hongzhi sering kali ditonjol dengan imej seperti Buddha dan dikelilingi bunga teratai? Malah seringkali juga digambarkan beliau memakai jubah bikhu (sami) aliran Theravada kerana mendedahkan sebelah baru. Manakala bunga teratai atau dikenali sebagai lotus juga sinonim dengan Buddha. Ini antara pengaruh Buddha yang jelas terdapat dalam Falun Dafa.

Keempat, simbol Falun Dafa terdiri daripada beberapa simbol seperti Ying Yang, Swastika dan juga Dhammacakra Buddha. Ketiga unsur ini adalah berasal daripada agama Buddha Tao dan Aryan. Swastika (seperti Nazi) adalah simbol yang digunakan oleh bangsa Aryan dan juga penganut agama di India seperti Hindu, Buddha, dan Jain.

Kelima, kitab Zhuan Falun banyak menceritakan perkara-perkara mistik yang melibatkan soal roh dan juga perkara spiritual. Ini kerana sifat agama sahaja yang membawa doktrin mengenai alam ghaib dan mengenai syurga neraka.

Keenam, disenaraikan kesemua kenyataan Li Hongzhi yang dipetik dari tulisan beliau sendiri di laman rasmi Falun Dafa. Kenyataan ini memberi isyarat bahawa ajarannya ini bersifat keagamaan dan membawa keselamatan kepada manusia ke syurga:

1.“No matter how large the cosmos is, it’s still not as large as I am.”(5)

“Tidak kira betapa besar alam semesta itu, ia tidak setanding betapa besarnya saya.”

2. “(Perhaps) when the cosmos is no more, only I am there.”(6)

“Ketika alam semesta tidak wujud, saya sudah wujud”

3. “No matter how big the Dafa is, I am not in it. But your lives are all within its range.”(7)

“Tidak kira betapa besarnya Dafa itu, saya tidak berada (terikat) di dalamnya, tetapi kehidupan anda semua berada dalam lingkungannya.”

4. “Whether we’re talking about inside China or abroad, I’m the only one who’s really transmitting a practice that takes you to higher levels.” (Li Hongzhi: Zhuan Falun)

“Sama ada kita bercakap di dalam negara China atau di luar negara, saya satu-satunya yang menyebarkan amalan yang membawa anda ke tahap yang lebih tinggi.”

5. “Right now I’m the only person in the world who is publicly spreading a true teaching. I have done something that’s never been done by anyone before, and I’ve made this available to everyone during the Age of the Law’s End.” (Li Hongzhi: Zhuan Falun)

“Sekarang saya adalah satu-satunya orang di dunia yang menyebarkan ajaran yang benar, saya telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum ini, dan saya telah membuat semua ini untuk persediaan semua orang pada Undang-Undang Akhir Zaman.”

6. “No religion or cultivation method is able to save you to a place that is even higher than its own gods. Our Dafa can save all sentient beings. How high a person cultivates is up to the person himself. That’s because Dafa is the Fa of the cosmos and has created living environments for all beings in the cosmos. It can bring you back to the original position.”(8)

Kenyataan ini bersifat seperti seorang ‘rasul’ bahkan melebihi dari itu. Dakwaan ini telah membina nilai ketaksuban dikalangan pengikutnya ke atas Li Hongzhi sendiri. Maka tidak hairanlah jika mereka membuat patung Li Hongzhi seperti patung dewa lain, dan setiap kali dilakukan perayaan akan dibuat perarakan mengimejkan Li Hongzhi.

Kesimpulan

Sebenarnya terdapat unsur-unsur keagamaan yang jelas dalam Falun Dafa terutama dalam mengangkat ketokohan pengasasnya itu. Cuma berlaku penafian yang mengatakan ia bukan ajaran agama disebabkan mereka dikekang oleh pemerintah Komunis di China.

Dengan penafian inilah antara cara untuk mereka boleh meneruskan kelangsungan Falun Dafa di China.

Sekiranya mereka itu hanyalah sebuah persatuan dan tidak memiliki unsur-unsur keagamaan, harus mengapa Falun Dafa mendapat ancaman daripada tokoh-tokoh agama lain seperti Fu Tieshan yang merupakan ketua paderi Katolik China, Jing Hui presiden agama Buddha China, dan Min Zhitting presiden persatuan Tao China, masing-masing mengeluarkan kenyataan mengancam gerakan Falun Dafa.(9) Ini menunjukkan bahawa mereka terasa pengaruh Falun Dafa adalah gerakan yang mengarahkan kepada sebuah agama baru yang mengancam mereka.

Pada hari ini mereka menafikan, akan tetapi mungkin sahaja lima puluh tahun lagi mereka akan menjadi sebuah agama rasmi dengan memiliki konsep-konsep keagamaan yang jelas. Tidak mustahil kerana ajaran ini sudah ada rona-rona menjadi sebuah agama baru. Memandangkan dengan mengamalkan Falun Dafa boleh menyembuhkan penyakit serta boleh mengubat jiwa, mungkin sahaja itu akan menjadi ritual keagamaan kelak. Malah dengan kenyataan Li Hongzhi yang seakan melebihi dewa akan mewujudkan ketaksuban kepada Li Hongzhi. Ini jelas membentuk sebuah agama.


Nota Kaki:

1. Lihat – (2004). Encyclopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 265-266
2. Lihat Human Right Watch; Mickey Spiegel, (2001). Dangerous meditation: China’s campaign against Falungong. New York, hlm 9
3. http://id.falundafa.org/introduction.html
4. Lihat: http://id.falundafa.org/introduction.html
5. Lihat Li Hongzi, (Mac 2002). Touring North America To Teach the Fa: http://en.falundafa.org/eng/lectures/200203L.html
6. Ibid
7. Lihat Li Hongzi (26 Julai 1998). Teaching the Fa at the Assistants’ Fa Conference in Changchun: http://en.falundafa.org/eng/lectures/19980726L.html
8. Lihat Li Hongzi, ( 2-3 Mei 1999). Teaching the Fa at the Fa Conference in Australia: http://en.falundafa.org/eng/lectures/19990502L.html
9. Lihat World Organization to Investigate the Persecution of Falun Gong (WOIPFG), (4 April 2004). Investigative Report on the Role of the Chinese Anti-Cult Association (CACA) in the Persecution of Falun Gong: http://en.minghui.org/html/articles/2004/4/5/46746p.html

Pasukan R&D MRM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close