Fenomena Menunggang Label ‘Ex – Muslim’
Baru – baru ini media antarabangsa digegarkan dengan kisah seorang remaja wanita Saudi, Rahaf Mohammed, yang lari daripada keluarganya sewaktu percutian di Kuwait ke Thailand, merayu meminta tolong di media sosial, dan akhirnya kemudian diberikan layanan dan tawaran pelarian kelas pertama oleh Kanada, serta tumpuan media yang tidak sudah – sudah.
Remaja tersebut turut mengisytiharkan murtad, serta memuat naik gambar meminum arak, dan memakan daging babi.
Persoalan sama ada betul – betul Rahaf dikongkong dan ditindas keluarganya kita tolak dahulu ke tepi. Suatu hal yang menimbulkan kemarahan banyak pihak adalah liputan dan layanan Barat yang sangat berat sebelah terhadap pelarian.
Apabila ratusan ribu pelarian dari Timur Tengah yang menderita akibat perang, kebuluran, kematian ahli keluarga merayu meminta pertolongan akibat campur tangan ketenteraan Barat, mereka ditolak ketepi, serta diperlekeh malah dianggap penyebab masalah negara.
Namun secara tiba – tiba seorang pelarian yang juga daripada Timur Tengah, lari daripada keluarga sewaktu percutian, diberikan pula layanan kelas pertama oleh mereka. Remaja perempuan ini dianggap hero dan dihidang arak dan babi, sedangkan dia tidak langsung mewakili ratusan ribu pelarian lain yang lebih menderita.
Maka tahulah kita bahawa ini adalah satu lagi kes layanan ekslusif terhadap golongan ‘Ex – Muslim‘, satu label yang semakin kerap ditunggangi pada masa ini, dengan agenda jelik menjatuhkan imej Islam.
Mahu Terkenal dan Dihormati? Buang Maruah Anda dan Guna Saja Pangkat ‘Ex – Muslim’.
Pangkat ‘ex – Muslim’ ini banyak gunanya. Bahagian ini menyenaraikan sedikit sebanyak cara label ini ‘ditunggangi’.
Guna Label ‘Ex – Muslim’ Untuk Berdakyah
Label ini banyak digunakan oleh misionari Kristian untuk mendakyah serta meyakinkan Muslim lain yang rapuh iman mereka untuk keluar daripada aqidah Tauhid yang suci. Mereka mahu mengatakan seolah – olah Muslim boleh mempercayai mereka kerana mereka juga dulu ‘pernah Islam’.
Sudah pasti, banyak klaim – klaim ‘ex – Muslim’ palsu yang dibongkarkan. Teknik murahan ini biasanya dibongkar apabila disuruh membaca al Fatihah.
Yusha Evans mendedahkan bahawa teknik ini banyak digunakan di Iraq, Syria, Afghanistan dan Palestin, oleh misionari yang tidak kisah menggunakan pendekatan penipuan untuk memurtadkan Muslim.
Sudah pasti, antara figura terkenal Kristian yang mengguna – pakai taktik ‘Saya Ex – Muslim’ ini adalah Nabeel Qureshi. Seorang misionari yang berulang – ulang kali mengatakan dirinya sebagai ‘ex – Muslim yang menjumpai kebenaran Kristian’ dalam syarahannya. Namun hakikatnya dirinya tidak pernah memeluk Islam. Dia sebaliknya adalah bekas Qadiani.
Hal ini turut didedahkan oleh seorang sarjana Kristian James White yang meminta Nabeel berhenti melabel dirinya ‘bekas Muslim yang soleh’.
Guna Label ‘Ex Muslim’ untuk Dikasihani dan Peroleh Kedudukan Tinggi
Bagaimanapun, antara aplikasi label ‘ex – Muslim’ paling ‘mengagumkan’ mungkin boleh dilihat pada seorang figura besar anti – Islam Ayaan Hirsi Ali. Hanya dengan menempel label ‘Ex -Muslim’ pada dirinya sambil disulami kisah dipaksa berkahwin dengan lelaki Muslim lain sehingga diugut bunuh oleh keluarganya yang ‘totok Islam’, Ayaan kemudian menjadi tokoh rujukan antarabangsa berkenaan polisi anti Islam, dijemput menjadi pengkaji Stanford, dan memegang jawatan dalam parlimen Belanda.
Sedangkan dia tidak pernah memiliki sebarang pendidikan tinggi berkenaan Islam.
Oh, dan rupa – rupanya keseluruhan ceritanya adalah satu penipuan, keluarganya tidak totok Islam, kerana ternyata ibunya menghantar abangnya ke sekolah Kristian. Keluarganya menafikan ceritanya lari daripada perkahwinan, dan dia tak hidup dalam situasi perang.
Semuanya adalah penipuan untuk memperoleh perlindungan politik Belanda dan menapakkannya dirinya sebagai rujukan anti – Islam.
Guna Label ‘Ex – Muslim’ untuk Hasilkan Channel Tular.
Label ‘Ex – Muslim’ ini juga nampaknya satu strategi untuk menularkan video dan mempromosi video anda.
Mahu jadi terkenal dan ditemu ramah media antarabangsa? Mengaku saja sebagai ‘ex – Muslim’. Tidak kisah lah jika mereka baru mengucap shahadah 3 bulan lepas dan tidak tahu rukun iman, pandangan mereka pasti dipandang serius dan mereka dilabel autoriti dalam Islam.
Ya, termasuklah jika latar belakang anda adalah seorang ahli kumpulan pengganas yang kemudian masuk ke dalam kumpulan Naqshabandi selama 3 tahun, anda juga boleh mengaku ‘ex Muslim’ dan hasilkan video – video mengkritik Islam yang ‘berautoritatif’.
Mengapa belajar jauh – jauh di al Azhar, mengaji ratusan kitab – kitab turath jika seorang pemuda mengaku ‘murtad’ ‘ex – muslim’ dengan kemahiran edit video dan google laman web anti Islam boleh peroleh ratusan ribu tontonan dan peroleh gaji melebihi kerjaya profesional?
Buka saja akaun Patreon pada channel anti Islam anda untuk didermakan oleh mereka yang terdesak mahu lihat Islam dibantah oleh sesiapa saja, kerana ilmuwan mereka telah tumpas semuanya. Oh, dan jual cawan ekslusif anda sekali.
#PleaseReflect Membongkar Hipokrasi ‘Ex-Muslim’
#PleaseReflect adalah suatu hashtag yang diperkenalkan oleh Asadullah Ali al – Andalusi untuk membongkar hipokrasi dan menjatuhkan logik mereka yang sering kali membangkitkan dirinya mereka sebagai ‘Ex – Muslim’ untuk memenangi argumen.
Asadullah Ali sendiri adalah seorang bekas sekular liberal, yang kemudian memeluk Islam dan kini menjadi pengkaji di YaqeenInstitute.
Dalam hantaran – hantaran #PleaseReflect, falasi yang menganggap mereka yang mengaku ‘Ex – Muslim’ sebagai autoriti agama Islam dibantah.
Ternyata, fenomena menunggang label ‘Ex – Muslim’ ini salah satu daripada usaha musuh – musuh Islam untuk menjatuhkan agama yang suci ini. Namun ia ternyata tidak berkesan, malah hipokrasi mereka semakin meninggikan Islam.
وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَٰكِرِينَ
Maksudnya : “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya).”
(Surah Ali `Imraan : ayat 54)