isu semasaKristianSyubhat

Fitnah Allah ‘Dewa Bulan’, Argumen Lapuk yang Masih Digunakan Misionari.

Kadang kala kita boleh menilai kebenaran sesuatu hanya dengan mendengar apa hujah orang – orang yang membantahnya.

Jika hujah yang paling popular digunakan oleh sang musuh untuk menjatuhkan sesuatu idea, teori atau pandangan ternyata sangat dangkal dan kelakar, maka ia sebenarnya menjadi hujah kebenaran idea / teori / kepercayaan tersebut.

Mungkin itulah yang boleh dikatakan mengenai fitnah ‘Allah Dewa Bulan’ oleh misionari Kristian. Walaupun sudah dibantah dan disuruh tinggalkan sekian lama, polemik ini masih digunakan oleh kumpulan – kumpulan anti Islam seperti Britain First.

Terbaru, digemparkan apabila dilaporkan terdapat komik anti – Islam yang disebarkan di sekitar KLIA yang mengguna pakai argumen yang sama.

Fitnah Moon God ini masih digunakan.

Asal – Usul Tuduhan yang Tidak Berasas Ini

Tuduhan mengatakan Allah adalah dewa bulan ini dicetuskan oleh seorang Pastor bernama Robert Morey di dalam bukunya The Islamic Invasion. Setelah itu idea yang sama dikembangkan oleh seorang anthropologis yang bernama Carleton S. Coon.

Beliau mendatangkan hujah bahawa Allah yang disembah oleh orang Islam itu merupakan dewa bulan bernama Hubal. Selain dari nama Hubal ia juga disebut sebagai ‘Ilah’ yang disembah bersama dengan berhala al Latta, Uzza, Manat, Manaf dan lain-lain. Perbahasan ini boleh dirujuk dalam artikel ini: (Sejarah Berhala Di Tanah Arab)

Sebelum kedatangan nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab Mekah dahulu telah mengubah ajaran nabi Ismail yang membawa Islam yang mentauhidkan Allah. Akan tetapi datang seorang bernama Amru Ibnu Luhaiy al Khuzai’e yang mula mensyirikkan Allah dengan membawa sebuah patung berhala setelah pulang dari pengembaraannya. Hasil daripada pengaruh berhala yang dibawa oleh Amru Ibn Luhay al Khuzai’e ke Mekah menyebabkan berkembangnya penyembahan dan pengukiran berhala di Mekah. 

Setelah itu diutuskan nabi Muhammad SAW bagi memurnikan semula ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu dan baginda menentang segala fahaman yang membawa syirik kepada Allah. Baginda juga telah memusnahkan 360 buah patung berhala yang dipuja di Kaabah. Berhala-berhala yang disembah oleh orang Arab suatu ketika dahulu itu berfungsi sebagai perantaraan antara seseorang dengan Allah. Fahaman ‘perantaraan’ inilah yang dibanteras oleh Islam.

Berbalik kepada tuduhan Robert Morey, sekira benar agama Islam ini menyembah dewa bulan yang merupakan salah satu berhala yang berada di Kaabah, harus mengapa nabi Muhammad memusnahkannya? Ini bukti jelas yang Islam tidak meletakkan nilai ‘penghormatan’ walau sekecil debu kepada dewa bulan. 

Malah lagi parah jika dikaitkan umat Islam menyembah dewa bulan, sedangkan di dalam al Quran Allah jelas mengatakan yang bermaksud:


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahupun bulan, tapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, Jika Ialah yang kamu hendak sembah.” (Surah Al-Fussilat: 37)

Di dalam ayat ini jelas Allah menyuruh menyembahNya sahaja! Dan bukan menyembah matahari dan bulan. Sekiranya dewa bulan itu dimuliakan, harus mengapa ayat ini menafikan ‘kemuliaannya’?

Akan tetapi Robert Morey cuba mencari hipotesis untuk mengaitkan agama Islam dengan dewa bulan dengan menunjukkan kesan pahatan dewa bulan yang disertakan dengan gambaran ukiran bulan sabit dan bintang. Di atas alasan itu, lalu dia mengaitkan simbol bulan bintang yang berada di kebanyakkan bendera negara Islam dan di menara masjid umat Islam. Selain itu juga beliau cuba menguatkan lagi teorinya dengan mengatakan umat Islam menggunakan kelander mengikut kiraan bulan sepertimana bulan sabit bagi mengetahui masuknya bulan Ramadhan dan juga Syawal. 

Jika dilihat kepada keseluruhan hujah Robert Morey, beliau hanya berdiri di atas dua hipotesis ini sahaja untuk mengaitkan dewa bulan itu kepada Allah. 

Pertama, Robert Morey menggunakan alasan umat Islam menggunakan simbol bulan dan bintang di bendera mereka adalah sebagai bukti umat Islam mendewa-dewakan dewa bulan. Hujah ini paling tidak logik sekali kerana jika dibilang jumlah bendera umat Islam yang tidak menggunakan simbol bulan bintang adalah lebih banyak. Seperti negara Arab Saudi, Afghanistan, Bahrain, Brunei, Mesir, Maghribi, Kuwait, Iraq, Palestin, Sudan, Syria, UAE, Yaman, Bangladesh, Indonesia, Qatar dan banyak lagi negara yang majoriti umat Islam yang tidak menggunakan simbol tersebut. Ini menunjukkan simbol itu bukan simbol keagamaan. 

Malah terdapat banyak masjid yang dibina tidak menggunakan simbol bulan dan bintang dan tidak ada apa-apa kelebihan terhadap simbol itu. 

Kedua, di dunia ini kita sedia maklum memiliki beberapa jenis kalender untuk mengira hari, bulan dan tahun. Antaranya adalah kalender bulan, solar dan juga lunisolar. Ini adalah sistem perkiraan yang sangat terkenal dari zaman berzaman. Malah, di dalam Islam, bermula pada zaman Umar al Khattab telah menetapkan kalender Hijjriyah sebagai Kalender umat Islam dengan memakai perkiraan bulan. Malah bukan setakat Islam sahaja, di dalam kalender masyarakat Cina dan Jawa, mereka juga memakai kalender bulan. Timbul persoalan, adakah wajar disebabkan perkara itu kita mengatakan mereka menyembah dewa bulan? Sudah tentu tidak kerana ia hanyalah sekadar perkiraan hari, bulan dan tahun sahaja.

Dan sekiranya terdapat masyarakat yang menggunakan kelendar matahari seperti Iran, Baha’I, Koptik dan lain-lain, adakah boleh untuk kita membuat hipotesis bahawa mereka menyembah dewa matahari? Sudah tentu tidak. 

Sekiranya dengan hal sebegitu boleh dihipotesis semudah itu harus mengapa tidak mengatakan golongan astronomis dan saintis itu penyembah dewa-dewi Rom? Ini kerana mereka menamakan planet dengan nama-nama dewa seperti Mars, Jupiter, Pluto, Neptune, dan Mercury. Adakah mereka juga Paganisme? 

Ini menunjukkan kedua-dua hipotesis yang dikemukan oleh Robert Morey ini terbukti gagal dan tidak mendasar. Jika benar ingin membawa hujah berkaitan dengan kepercayaan dan aqidah sesebuah agama maka hendaklah datangkan teks di dalam kitab sucinya yang menganjurkan perkara itu. Bukan sekadar mencarik-carik info di dalam bahagian lain lalu cuba tampalkan di wajah sesebuah agama. 

Seorang teologi di dalam Kristian bernama James White sendiri mengatakan dakwaan yang dikemukakan oleh Pastor Robert Morey itu tidak berasas, malah :

Ia argumen tidak berasas. Semua debat berkaitan tajuk ini kita kalah. Tak perlu gunakannya.

Dr James White

Adapun sebahagian orientalis lain seperti Carleton S. Coon mendakwa nama kepada Allah itu berasal daripada kata nama Illah yang disandarkan kepada patung Hubal yang disembah oleh orang Arab. Akan tetapi dari segi bahasa nama ini jelas berbeza. Malah di dalam bahasa Arab perkataan Ilah boleh bermaksud sembahan dan tuhan-tuhan selain daripada Allah. Malah di dalam al Quran Allah menggunakan orang yang mempertuhankan hawa nafsu juga digunapakai perkataan Ilah: 

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya” (Surah al Jasiyah: 23)

Ilah boleh bermaksud bermacam bagi sesuatu yang disembah. Manakala Allah adalah nama ekslusif yang mengisyaratkan kepada Tuhan Yang Maha Segala-Galanya. Malah sebelum kelahiran nabi Muhammad di Kota Mekah, orang Arab sudah menggunakan perkataan Allah bagi mengisyaratkan Tuhan Yang Maha Tinggi. Malah, Allah tidak pernah digambarkan dan dipatungkan, berbeza dengan dewa atau ‘Ilah’ di Mekah yang mana ia diukir dan diberhalakan. 

Islam Bukan Agama Simbol

Jika dilihat Kristian memiliki simbol salib, Yahudi memiliki simbol bintang Daud, Hindu memiliki simbol OM, Buddha memiliki simbol Cakra lapan sila manakala Islam pula sering kali disimbolkan bulan dan bintang. 

Pokok asalnya dalam Islam tidak memiliki simbol-simbol bagi melambangkan agamanya. Bermula pada zaman nabi, sahabat dan genersi seterusnya tidak pernah mengekslusifkan mana-mana simbol sebagai lambang agama.

Manakala bulan dan bintang pula adalah simbol yang diperkenalkan oleh pemerintahan khilafah Islam Turki Uthamaniyah. Bendera Khilafah Turki dahulu memperkenalkan simbol bulan bintang sebagai identiti kerajaan Khilafah Islam dan setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah maka negara-negara Islam lain masih mengekalkan simbol ini di bendera mereka.

Umat Islam tidak ada masalah jika dibuang simbol bulan dan bintang kerana ia adalah simbol kerajaan yang menyatukan umat Islam pada suatu ketika dahulu dan bukan simbol agama. Simbol itu dibuat di atas beberapa falsafah yang berkaitan dengan kemuliaan mengikut tanda aras anak bulan ketika bulan ramadhan dan syawal.

Kesimpulan

Islam menolak segala unsur yang memperduakan Allah. Tuduhan yang mengatakan Allah yang merupakan Tuhan kita semua itu sebagai dewa bulan adalah tidak benar. Samada dari sudut sejarah dan juga etimologi kalimah jelas membuktikan ia berbeza. Dakwaan yang dilemparkan oleh Robert Morey itu jelas merupakan dakwaan yang tidak berasas. Sekiranya dia ingin membincangkan soal aqidah dan keimanan maka datangkanlah bukti di dalam bentuk pendalilan khususnya teks di dalam al Quran dan Hadis. Contoh, datangkan bukti ayat al Quran mengatakan “sembahlah dewa bulan” bagi membenarkan tuduhan itu. Akan tetapi al Quran dan hadis tidak menyebut mengenainya. Tuduhan yang dilemparkan oleh golongan orientalis hanyalah hipotesis yang lemah semata-mata. 

Begitu juga, jika argumen yang sangat dangkal dan cetek, serta telah lama dibuktikan salah itulah yang dipilih oleh pihak misionari untuk meruntuhkan Islam, maka ia hakikatnya ia menunjukkan kebenaran Islam yang tidak mampu dibantah akal yang waras.

Wallahua’lam

Rujukan

[1] Carleton S. Coon, (1944). jurnal Southern Arabia, A Problem For The Future, Smithsonian Institution, Itali.
[2] Dr. Robert A. Morey, (2011). The Islamic Invasion, Xulon Press, USA.
[3] Sami Abdullah al Maghlouth, (2011). Atlas Agama-Agama, Penerbit Alhamira, Jakarta, Indonesia.
[4] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017). Yahudi Kristian Hindu Buddha Berasal Daripada Islam?, PTS, Selangor, Malaysia.
[5] Dr. Ahmad Syalabi, (2010). Ensiklopedia Sejarah Islam, Jasmin, Selangor, Malaysia.
[6] Prof. Dr. HAMKA, (2006). Sejarah Umat Islam, Pustaka Nasional, Singapura.
[7] Imam Asy Syaukani, (2011). Tafsir Fathul Qadir, Pustaka Azzam, Jakarta, Indonesia, Jilid 9.
[8] Syeikh Muhammad al Ghazali, (2010). Fiqh Sirah, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, Malaysia, Jilid 1.
[9] Muhammad Sa’id Ramadan al Buti, (2008). Fiqh al Sirah, Dewan Pustaka Fajar, Selangor, Malaysia.

R&D TEAM MRM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close