Hukum Islam

Ketegasan Rasulullah Terhadap Arak

 

1. Rasulullah sangat bertegas dalam perkara yang melibatkan arak. Baginda memberikan ancaman bahawa Allah melaknat sepuluh golongan yang mempunyai hubungan dengan arak.

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan:

“Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan.

2. Sarjana Muslim terdahulu amat memahami perkara ini sehingga sebahagian mereka tidak membenarkan non-Muslim untuk menzahirkan aktiviti arak mereka.

3. al-Imam Ahmad pernah ditanya berhubung perkara ini. Anaknya Abdullah meriwayatkan bahawa dia bertanya kepada ayahnya iaitu al-Imam Ahmad: Bolehkan ahli zimmah (non Muslim) membawa masuk arak mereka dikawasan Muslim? Jawab Ahmad ibn Hanbal:

ليس لهم أن يظهروا بيع الخمر ولا يدخلوه إلا أن يكون في صلحهم

“Tidak seharusnya bagi ahli zimmah (non Muslim) menzahirkan aktiviti penjualan arak mereka dan membawa masuk ke dalam kawasan Muslim. (al-Masail al-Rasail, (Riyad: Dar Taybah, 1412), 2/348)

4. al-Imam Mawardi pula memberikan syarat yang lebih ketat. Kata beliau berhubung syarat ahli zimmah (kafir zimmi/non Muslim) adalah:

والرابع : أن لا يتظاهروا بشرب خمورهم، وخنازيرهم، ولا يسقوا مسلماً خمرا

“dan syarat yang keempat (buat ahli zimmah/non Muslim yang mendiami dibawah naungan Muslim) adalah mereka tidak menzahirkan aktiviti minum arak mereka, begitu juga dengan khinzir mereka, dan tidak boleh non Muslim untuk memberi Muslim arak.” (al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah), Jil 14, m/s 318; )

5. al-Imam Ibnu Qayyim pula menceritakan bahawa Umar Al-Khattab r.a. pernah membakar kedai arak & juga telah membakar sebuah kampung yang terdapat penjualan arak di dalamnya. (Al-Turuq al-Hukmiyyah, m/s 22)

Mudarat arak ini adalah sangat jelas buat manusia. Moga Allah membimbing kita ke arah yang lebih baik.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close