Ateis

Membongkar Fahaman Ateisme

Perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara terhadap gaya hidup masyarakat moden. Namun di sebalik kemajuan dan ledakan teknologi yang semakin berkembang, umat Islam perlu menyedari bahawa cabaran hidup pada zaman ini jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya. Antaranya kita terpaksa berhadapan dengan cabaran yang semakin getir dalam mempertahankan aqidah yang benar.
Jika dahulu kita berjaya mengawal, menyekat dan menapis segala bentuk fahaman yang cuba merosakkan aqidah kita serta generasi muda kita, namun ternyata bahawa kawalan, sekatan dan tapisan kini sudah tidak lagi mampu dilakukan seampuh masa dahulu. Realitinya anak-anak muda dan remaja kita sangat terdedah kepada pelbagai bentuk fahaman yang menyeleweng sehingga boleh merosakkan diri dan aqidah mereka.

Apakah Itu Ateisme?

Atheisme bermakna fahaman atau kepercayaan yang tidak mengakui kewujudan tuhan. Atheisme adalah merujuk kepada ketidakpercayaan atau kurang kepercayaan tentang kewujudan tuhan. Dalam Bahasa Arab atheisme adalah al-ilhad (اإللحاد) . Ilhad dari segi istilahnya adalah sebuah mazhab falsafah yang menafikan kewujudan Allah sebagai Pencipta Alam semesta ini.
Atheisme adalah satu fahaman yang menolak akan kewujudan Tuhan dan alam ghaib kerana bagi mereka alam ghaib juga termasuk dalam dunia tabi’e. Oleh sebab itu, penganut atheis boleh dikira berdasarkan penolakan atau kurangnya kepercayaan kepada agama dan Tuhan. Atheisme terbina atas asas kebencian dan kebebasan sepenuhnya daripada agama. Ada yang menolak kewujudan Tuhan, ada yang menolak agama dan ada yang menolak pengetahuan tentang Tuhan dan kewujudan-Nya.

Ciri Fahaman Ateisme

Beberapa ciri fahaman atheis dapat dinyatakan seperti berikut;
1. Menolak secara mutlak wujudnya tuhan atau segala yang bersifat Ilahiah.
2. Menetapkan hujah bahawa tiada bukti wujudnya tuhan dan kegagalan sains mengesahkannya sebagai asas kepada penolakan tersebut.
3. Meyakini bahawa hidup adalah satu proses di mana tiada ruang untuk menerima kewujudan tuhan.
Fahaman ini secara jelas amat bertentangan dengan dasar akidah Islam yang berpaksikan kepada tauhid. Firman Allah dalam surah al-Ikhlas, ayat 1-4:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tiada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.

Pecahan Golongan Ateis

Golongan atheis terbahagi kepada beberapa kumpulan. Antaranya ialah atheis terbuka atau juga dikenali sebagai New Atheists. Kelompok ini terdiri daripada kalangan penulis buku abad ke-21 yang mempromosikan ateisme. Disebut New atheism untuk membezakannya dengan atheis lama yang berkembang dalam tradisi falsafah. Ciri utama gerakan atheis baru adalah keyakinan para pendokongnya bahawa sains mampu menjawab persoalan-persoalan dasar termasuk pertanyaan tentang kewujudan tuhan.
Kelompok lain ialah atheis pragmatis. Disebut demikian kerana pada dasarnya seorang atheis pragmatis akan tetap menjalankan ritual keagamaannya meskipun mereka tidak mempercayai kewujudan tuhan. Menurut mereka, alam semesta dan kehidupan boleh berfungsi tanpa tuhan. Namun atheis pragmatis tidak menganggap agama sebagai sesuatu yang harus dimusuhi. Sebaliknya agama harus didekati dan dimanfaatkan.
Hakikatnya fahaman atheis juga tergolong sebagai salah satu bentuk kesyirikan. Di sebalik penolakan terhadap kewujudan tuhan, golongan atheis telah memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada alam. Firman Allah dalam Surah al-Jathiyah, ayat 24;
Maksudnya: Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini! Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman.” Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu, mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.
Akhirnya mereka menyembah dan mengabdikan diri kepada hawa nafsu semata-mata. Firman Allah  dalam surah al-Furqan, ayat 43:
Maksudnya: Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawal yang menjaganya jangan sesat?

Kebimbangan Terhadap Gerakan Ateis

Naiknya kebimbangan terhadap gerakan ateis Malaysia bertitik tolak dengan laporan sebuah pertubuhan atheis yang berpangkalan di luar negara, iaitu Atheist Republic dikatakan telah mengadakan perjumpaan di Kuala Lumpur.
Gambar mereka dimuat naik di Facebook rasmi Atheist Republic pada 3 Ogos 2017 dengan keterangan mengenai kejayaan penganjuran tersebut. Menurut laporan portal menara.my, cawangan pertubuhan itu di negara ini dikenali sebagai ‘The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur’.
Difahamkan, pertubuhan itu diasaskan oleh Armin Navabi, seorang yang dilahirkan dalam keluarga Muslim liberal. Keahlian pertubuhan ini termasuk daripada kalangan orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’. Armin Navabi juga baru – baru ini mencetuskan kecaman Muslim seluruh dunia apabila membawa slogan ‘Allah is Gay’ dalam perarakan LGBT di Kanada.
Dengan adanya laman Facebook yang diwujudkan khusus buat golongan atheis seluruh dunia pada 2011, gerakan ini dikatakan telah berjaya menjejak mereka yang menolak kewujudan Tuhan dan sehingga kini mempunyai pengikut lebih 2 juta di Facebook.

Perlu Dibendung

Kewujudan kumpulan seperti ini tidak seharusnya dipandang remeh dan sepi. Tindakan segera perlu diambil untuk membendung penularan fahaman atheis yang menolak kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan, bagi memastikan doktrin berkenaan tidak berleluasa di negara ini sehingga di luar kawalan. Jika dibiarkan, adalah tidak mustahil ia akanmenjadi barah yang suatu masa nanti akan mendatangkan malapetaka yang besar terhadap pegangan akidah umat Islam di negara kita ini.
Oleh itu, semua pihak perlu berperanan serta berganding bahu antara satu sama lain. Tidak perlu menuding jari dan saling menyalahkan. Kepada mereka yang terlibat dengan kumpulan ini, sama ada yang mendokong New atheisme atau atheisme pragmatis, hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada ajaran akidah Islam yang benar.

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close