Liberal

Kedangkalan Taktik Memperjuang Hak Gay Atas Nama Hak asasi Manusia

Antara hujah yang menghalalkan perjuangan LGBT di seluruh dunia, dan mula mendapat tempat di Malaysia, adalah kerana kononnya hubungan sejenis ini adalah sebahagian daripada hak asasi manusia sejagat.

Slogan tersebut dianggap seolah ia sememangnya default position untuk golongan LGBT. Hak mereka dikatakan terpelihara atas nama ‘hak asasi manusia sejagat’.

Cuma masalahnya, ini sama sekali tidak benar.

Artikel 16 menyebut:

“Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”

Tiada langsung disebut tentang ‘gay’, ‘lgbt’, ‘homoseks’, ‘orientasi seksual’, ‘identiti gender’ dalam deklarasi asal hak asasi manusia sejagat 1948 tersebut. Hal ini bertepatan dengan penerimaan amalan kaum lut tersebut pada waktu itu. Seluruh dunia menolaknya.

Michael Goodhart dalam Human Rights, politics and practice (2009) menyebut:

“international human rights instruments do not explicitly mention sexual orientation or gender identity”

Jadi bagaimana seruan LGBTIQ ini boleh disebatikan dengan hak asasi manusia?

Mudah saja, sebab mereka ‘hijack’ istilah tersebut. Sebagaimana US ‘hijack’ istilah demokrasi untuk halalkan mereka bom negara orang.

Gerakan memperjuangkan orientasi seks sebagai agenda hak asasi manusia cumalah bermula 50 tahun selepas deklarasi hak asasi manusia sejagat ditulis, iaitu pada tahun 1995 dengan tulisan Eric Heinze’s ‘Sexual Orientation: A Human Right’.

Selepas mendapat sokongan yang besar dan disuntik jutaan dollar oleh penaja – penaja dan’ tangan – tangan di belakang’, dan didesak oleh gerakan LGBT yang makin berkuasa, barulah dipopularkan perkahwinan istilah ‘hak LGBT’ dengan ‘hak asasi manusia’ oleh akhbar – akhbar dan media massa pada tahun 2010 –an.

Sedangkan High Commissioner hak asasi manusia sendiri mengatakan selama 5 tahun beliau memegang jawatan, tak pernah dibincangkan hak asasi manusia berkaitan LGBTQI.

“When I became high commissioner for human rights five years ago, there was almost no discussion at the United Nations on the human rights challenges faced by lesbian gay transgender and intersex people,” – Navi Pillay.

Bermakna, ini memang satu desakan untuk memaksa agenda LGBTIQP dimasukkan ke dalam hak asasi manusia.

Hakikatnya, mahkamah antarabangsa sendiri tak mengiktiraf (belum lagi, nauzubillah) hubungan pasangan sejenis sebagai hak asasi manusia, walaupun cuba dipersembahkan demikian oleh mereka pendokong LGBT.

Dalam kes Joslin et al v New Zealand, jawatankuasa hak asasi manusia UN berkeputusan perkahwinan hanyalah untuk mereka yang berlainan jantina.

Dalam keputusan pada 2010, 2014, 2015 dan 2016, European Convention on Human Rights menyimpulkan mereka tak perlu memberikan hak perkahwinan kepada pasangan sama jantina.

Jelas, perkahwinan sama jantina bukan hak asasi manusia. Mereka cuba jadikan hak asasi manusia sebagai slogan perjuangan mereka, namun ternyata fakta sebenar mematahkan agenda mereka.

Kesimpulan.

Hakikatnya ‘Hak asasi manusia sejagat’ bukanlah dalil untuk anda imani dan julang seolah ia satu kebenaran.

Deklarasi yang baru diwujudkan 70 tahun lepas dan tak mendapat penyertaan negara kita itu ternyata tidaklah ‘universal’ apabila dieksploitasi dan manipulasi berdasarkan suara siapa yang besar dan siapa yang kaya.

Berpeganglah kepada hukum dan undang – undang Maha Pencipta yang Maha Berkuasa, dan Hidup dan tidak mati, pemilik kebenaran, dan Hakim yang sebenar di hari akhirat.

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close