Nasihat

Anak Anda Ke Universiti? Kebanggaan Anda Perlu Disertai Rasa Takut

Universiti adalah tempoh masa di mana anak anda betul – betul akan merasakan bebas. Mereka mungkin akan lebih jarang pulang ke rumah, atau berada ribuan kilometer jauhnya dari keluarga.

Sudah hampir pasti mereka akan terdedah dengan idea dan gaya hidup yang akan mencabar segalanya yang anda didik mereka sejak kecil.

Maka anda perlu pastikan anak anda memiliki ilmu agama secukupnya untuk menghadapi idea – idea ini. Banyak dalam kalangan mereka dalam lingkup umur ini memiliki syubhat yang pelbagai terhadap Islam. Kebiasaannya mereka menghadapi cabaran daripada 5 sudut.

1) Mereka miliki ilmu yang sangat sedikit mengenai Islam melainkan klise – klise masyarakat. Mereka menganggap apa yang mereka ketahui mengenai Islam daripada imam atau ustaz sekolah dan kawasan perumahan mereka adalah segalanya tentang Islam.

2) Mereka berdendam dengan ibu bapa dan ustaz – ustazah yang bersifat kasar seperti memukul untuk mendidik Islam. Ini menghasilkan trauma yang kemudian membenihkan kebencian yang kemudian mendatangkan penolakan terhadap agama.

3) Sewaktu mereka menghadapi syubhat pada permulaan, mereka akan cuba mencari jawapan dengan jujur. Namun mereka mungkin tak dapat menemui Imam atau ustaz ustazah yang baik untuk memenuhi kehendak pemikiran mereka, ataupun yang berempati terhadap mereka. Lebih teruk apabila jenis imam dan ustaz yang mereka temui adalah yang tidak lain mengancam dengan api neraka atau memalukan mereka. Ini menyebabkan syubhat tersebut berakar dan mereka mula terfikir sama ada soalan mereka ada jawapannya dalam Islam!

4) Mereka sememangnya tertarik dengan kebebasan gaya hidup Barat dan membenci rasa terkongkong dengan kehendak agama. Nafsu untuk mendapat gaya hidup sedemikian menjadi bahan bakar keraguan mereka. Kemampuan mereka berfikir secara seimbang dan adil akan terjejas. Orang sebegini tak sabar untuk meninggalkan rumah untuk ke universiti.

5) Islam tidak pernah dirasakan penting oleh mereka kerana mereka tak pernah melihat ibu bapa mereka mengamalkannya. Ibu bapa mereka cuma hendakkan duit dan kejayaan. Mereka tak kisah tentang halal dan haram atau hidup cara Islam.

Soalan kepada anda semua adalah, apa yang buatkan anda fikir iman anak – anak anda akan terselamat di kolej atau Universiti? Adakah mana – mana daripada 5 perkara di atas terdapat pada anak – anak anda? Adakah anak anda miliki pendidikan Islam yang kuat, dan punyai guru yang mampu membimbing mereka atasi syubhat?

Kadang – kadang ibu bapa membalas dengan mengatakan anak – anak saya bijak, maka mereka pasti selamat. Hakikatnya orang – orang yang bijak suka berfikir. Mereka tak akan biarkan keraguan begitu saja. Mereka akan berfikir keras dan akan mahukan jawapan. Jawapan – jawapan cetek tak akan memuaskan mereka.

Kita perlu berlaku jujur dengan diri kita dan ambilllah tindakan. Rapatkan diri kita, dan anak – anak kita dengan imam dan ustaz yang baik dan berilmu. Masukkan mereka dalam kelas dan kursus pengajian Islam yang bagus.

Begitu juga, perbaiki masa silam anda. Kalau anda tahu anak anda miliki trauma akibat dipukul dan dikasari ketika waktu kecilnya, inilah masanya untuk anda bercakap dengan mereka, cuba ubati luka – luka silam mereka.

Dan jalin semula hubungan rapat dengan anak – anak anda! Pergi bercuti bersama, bersiar – siar, bersenam bersama, gelak ketawa bersama. Perlakukan anak – anak anda seperti kawan baik anda. Selesaikan masalah anak – anak anda sebagai ibu bapa dan sebagai kawan baik.

Semoga Allah memelihara kita dan anak – anak kita.

Diolah dan diterjemah daripada tulisan Shams Adduha Muhammad.

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close