Ateis

Falasi Teori Evolusi Menafikan Kewujudan Nabi Adam

Teori evolusi ialah sebuah teori yang sah dan berfungsi dalam dunia sains. Itu sebuah hakikat. Sebahagian daripadanya ialah fakta iaitu evolusi pada pada peringkat mikro yang boleh diperhatikan dalam suasana makmal yang terkawal seperti adaptasi serangga perosak ke atas racun perosak.

Adapun sebahagian yang lainnya pula ialah unjuran atau ekstrapolasi daripada apa fakta yang ada bersama anggapan-anggapan yang tertentu tanpa ada pemerhatian dalam makmal seperti ikan paus berevolusi daripada sejenis haiwan darat yang juga merupakan nenek moyang badak air.

Demikian juga termasuk dalam juzu’ teori evolusi yang bersifat unjuran ini ialah klaim bahawa manusia berasal-usul daripada leluhur haiwan ataupun manusia berkongsi nenek moyang yang sama dengan pelbagai jenis mawas hari ini.

BOTTLENECK OF TWO INDIVIDUALS

Namun, adalah suatu perkara yang meleset jika seseorang hendak menganggap pengesahan teori evolusi dalam sains telah menafikan terus kewujudan Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa. Dalam “population genetics”, “bottleneck of two individuals” ialah sebuah kemungkinan yang tidak boleh dinafikan.

Apa itu “bottleneck of two individuals”?

“Bottleneck of two individuals” ialah sebuah istilah yang digunakan dalam bidang “population genetics” untuk merujuk kepada situasi teorikal kepelbagaian maklumat-maklumat genetik yang wujud dalam kalangan populasi manusia moden hari ini berasal-usul hanya daripada dua orang manusia – sepasang lelaki dan perempuan.

Dalam tempoh masa sekitar 500 000 tahun ke belakang, “population genetics” tidak menafikan kemungkinan adanya “bottleneck of two individuals” iaitu boleh jadi atau “possible” untuk populasi manusia hari ini datang daripada sepasang lelaki dan perempuan.

MANUSIA BERKONGSI NENEK MOYANG DENGAN MAWAS?

Berhubungan dengan penemuan fosil-fosil yang seakan-akan manusia dan seakan-akan mawas dalam arkeologi pula, perkara ini memerlukan pemerhatian yang lebih terperinci. Kebiasaannya penemuan fosil-fosil seperti ini akan sering dijaja dan digembar-gemburkan, oleh golongan “science popularizer” kebiasaannya, sebagai telah membuktikan “human-chimp ancestry”.

Apa itu “human-chimp ancestry”?

Jika anda mahu tahu, inilah ‘medan tempur’ paling dahsyat antara golongan beragama Ibrahimiyah (Islam, Kristian dan Yahudi) dengan golongan pendukung teori evolusi terutama daripada golongan ateis, iaitu bahagian teori evolusi yang menyatakan bahawa manusia berasal daripada leluhur haiwan ataupun berkongsi nenek moyang yang sama dengan pelbagai spesies mawas hari ini.

Secara umum kita boleh definisikan “human-chimp ancestry” sebagai hubungan kekeluargaan ataupun perkongsian nenek moyang antara manusia dgn spesies mawas yang lain.

Seperti yang saya tuliskan di atas, perkara ini sangat perlu kepada perincian.

“Tapi ada fosil kot. Bukti empirikal ni.”

Sabar.

Perlu difahami bahawa dalam tindakan kelompok “science popularizer” yang menjaja fosil-fosil manusia-mawas atau mawas-manusia ini sebagai bukti empirikal “human-chimp ancestry”, di sana ada sebuah anggapan tidak terbukti atau “unproven assumption” yang mendasarinya.

Bagi seseorang menerima fosil-fosil yang dikemukakan sebagai bukti kepada “human-chimp ancestry”, beliau perlu terlebih dahulu menerima anggapan tidak terbukti tersebut sebagai benar dan hal inilah yang sering tidak disedari oleh ramai orang.

Anggapan tidak terbukti tersebut ialah anggapan naturalisme atau “assumption of naturalism”. Sebuah anggapan awal yang ditetapkan dalam minda bahawa hanya penjelasan yang bersifat naturalistik semata-mata akan diterima.

Masih tidak faham?

Begini. Bagi seseorang itu menerima fosil-fosil manusia-mawas atau mawas-manusia menjadi bukti empirikal kepada “human-chimp ancestry”, beliau perlu terlebih dahulu menetapkan dalam mindanya bahawa di sana tidak ada sebarang kemungkinan berlakunya perkara yang tidak bersifat naturalistik seperti penciptaan khas sepasang manusia pertama (Adam dan Hawa) oleh Tuhan.

Tetapkan dalam minda bahawa hanya penjelasan bersifat naturalistik sahaja yang patut diambil kira seperti manusia mesti berasal daripada jenis hidupan bukan manusia (haiwan) dan benda-benda hidup di bumi ini mesti muncul secara semulajadi daripada benda-benda bukan hidup.

Faham?

Hal ini dapat kita lihat dengan lebih jelas misalnya daripada ungkapan ahli biologi Gareth Nelson,

“We’ve got to have some ancestors. We’ll pick those. Why? because we know they have to be there, and these are the best candidate. That’s by and large the way it has worked. I am not exaggerating.” (Darwin on Trial, pg 76)

Oleh itu, perlu difahami bahawa sekalipun jika tidak ditemui sebarang fosil manusia-mawas atau mawas-manusia, golongan yang berpegang pada anggapan naturalisme ini akan tetap mengatakan bahawa manusia mempunyai nenek moyang yang bukan manusia (haiwan) kerana hanya itu sahaja penjelasan yang boleh wujud dalam kerangka anggapan naturalisme.

Tindakan golongan “science popularizer” menunjukkan fosil itu dan fosil ini bagi ‘membuktikan’ “human-chimp ancestry” sebenarnya jika kita fahami tidak lebih daripada sekadar sebuah tindakan yang bersifat “confirmation bias” kepada teori yang telahpun dianggap betul oleh mereka dengan anggapan naturalisme tersebut.

Selain daripada itu, dengan anggapan naturalisme ini jugalah segala persoalan kajian ataupun “research question” dalam bidang “evolutionary biology” dibangunkan. Maka, adalah sesuatu yang tidak begitu menghairankan untuk mendapati ada banyaknya dapatan-dapatan saintifik yang menguatkan jalan cerita atau naratif “human-chimp ancestry”. Hal ini seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah sains, Thomas Kuhn, “The answers you get depend on the questions you ask.”

Namun, perlu diingat betul-betul bahawa dengan menguatkan jalan cerita “human-chimp ancestry” itu tidak akan sekali-kali pernah menafikan jalan cerita atau naratif manusia berasal daripada sepasang lelaki dan perempuan kerana apa yang dilakukan hanyalah mengesahkan satu naratif iaitu naratif “human-chimp ancestry” dan bukannya menyalahkan atau “falsify” naratif yang satu lagi iaitu asal-usul manusia daripada sepasang lelaki dan perempuan.

Tambahan pula, seperti yang telah saya tuliskan di awal artikel, dalam tempoh sekitar 500 000 tahun ke belakang, “population genetics” tidak menafikan kebarangkalian bahawa boleh jadi manusia berasal daripada sepasang pasangan lelaki dan perempuan.

PENUTUP

Sebelum menutup perbincangan ini, suka untuk saya kongsikan beberapa bahan bacaan yang pada pandangan saya bermanfaat untuk ditelaah dalam menghadapi isu ini khususnya sebagai seorang yang Muslim. Cuma, untuk menjadi adil, hendaklah anda terlebih dahulu faham benar-benar apa itu teori evolusi dan apakah yang sebenarnya dikatakan olehnya.

Jika anda hanya asyik terfikirkan “human-chimp ancestry” apabila disebutkan teori evolusi, atau lebih teruk lagi “manusia berasal daripada monyet”, ketahuilah, masih banyak yang perlu anda telaah tentang teori ini bagi memastikan anda tidak zalim terhadapnya walaupun anda tidak bersetuju dengannya.

Pertama, buku bertajuk “Science & Human Origins” oleh Ann Gauger, Douglas Axe & Casey Luskin.

(Versi PDF buku ini boleh dimuat turun secara percuma daripada pautan ini : https://www.discovery.org/f/9031)

Kedua, kertas akademik dua bahagian bertajuk “Genetic Modeling of Human History” oleh Ola H√∂ssjer, Ann K. Gauger & Colin Reeves

(Kertas akademik ini boleh dimuat turun secara percuma daripada pautan ini :

1.http://bio-complexity.org/ojs/index.php/main/article/view/BIO-C.2016.3

  1. http://bio-complexity.org/ojs/index.php/main/article/view/BIO-C.2016.4 )

“A fair result can be obtained only by fully stating and balancing the facts and arguments on both sides of each question.”

– Charles Darwin

Oleh : Amirul Ashraf ibn Fadzil

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close