Nasihat

Krisis Ilmu dalam Umat

Istilah ‘krisis’ diertikan sebagai kesukaran yang amat sangat, masalah atau marabahaya. Berdasarkan definisi ini, umat Islam telah dan sedang menghadapi beberapa krisis yang berbeza: politik, ekonomi, sosial, dan agama.

Krisis Ilmu pengetahuan mungkin adalah krisis terbesar yang mengesani keseluruhan dunia Islam. Krisis ini tidak mudah, ia kompleks dan berbagai dimensi dengan beberapa watak yang berbeza mengawalinya.

Fardu Ain untuk Belajar

Faktor utama krisis ilmu adalah nilai kecelikan yang rendah terhadap pengajian Islam, termasuk dan tidak terhad kepada Aqidah, Ulum Quran, Hadis, Fiqh, dan Sirah. Amat penting untuk kita sebagai masyarakat berlaku jujur kepada diri kita. Pemahaman kita terhadap keimanan kita, agama dan didikannya adalah cetek dan dangkal.

Kita mungkin memikirkan bahawa kita memahami agama kita, namun realitinya kita hanya tahu sedikit saja. Kita memiliki persepsi tentang apa itu Islam, yang amat dipengaruhi oleh pengalaman peribadi dan peristiwa – peristiwa, yang bersandar pula kepada rencah pengamalan Islam yang kita didedahkan dari kecil.

Untuk kebanyakan kita, kita hanya mengetahui agama dari apa yang diajarkan oleh ibu bapa, mungkin tuisyen tambahan, syarahan dan ceramah, Syeikh Google, dan Mufti Youtube. Sering saja, pemahaman Islam kita sangat bersifat ritualistik dan formal; terserlah zahir, tapi ketandusan isi. Bukanlah berniat untuk merendahkan sesiapa, tapi berapa ramai antara kita yang memahami Quran, sejarahnya, pemeliharaan, pengumpulan, subjek, tema dan strukturnya? Bagaimana kita mahu menjadi Muslim sebenar jika kita tidak mampu berinteraksi dengan sumber utama kepercayaan kita?

Menempuh tahap literasi sebegini adalah kewajipan setiap daripada kita. Sebagaimana sabda Nabi: “Menuntut Ilmu adalah kewajipan setiap Muslim”. Ini tidaklah bermakna setiap orang harus menjadi ulama, tapi, semua orang perlu mempelajari ilmu secukupnya untuk menyembah Pencipta mereka dengan benar bersulam kefahaman.

Kaca Mata Mana yang Anda Pakai?

 

Terdapat pergeseran dalam masyarakat kita terhadap dua sisi pandang yang berbeza; sisi pandang yang berlandaskan Quran dan Sunnah, ditentang pula oleh sisi pandang yang berpunca dari ajaran sekular, liberal, kontemporari Barat moden yang dipersembahkan seolah – olah berakar pada rasional akal.

Sama ada kita mahu mengaku atau tidak, kita amat dipengaruhi oleh masyarakat dan budaya yang kita dibesarkan di dalamnya, terutamanya sistem pendidikan Barat yang diimplementasikan dalam sekolah – sekolah kerajaan dan swasta. Kita telah, sedar atau tanpa sedar, mengadaptasikan sistem nilai dan cara hidup yang berasaskan modernisme, liberalisme dan sekularisme.

Oleh sebab itu, kita paksakan pula pemahaman kita terhadap konsep – konsep ini ke atas ayat – ayat Quran dan hadis, hingga akhirnya membuat kesimpulan bahawa sebahagian – sebahagian dalil sebagai ‘bermasalah’. Ini membawa kepada konflik dalaman yang pelbagai serta mengundang syubhat.

Perspektif kehidupan kita haruslah berlandaskan Quran dan Sunnah. Allah adalah puncak segala keadilan, kesaksamaan, rahmat, dan kebebasan. Apa yang Allah iktiraf sebagai adil, rahmat dan saksama adalah apa yang sebenarnya Adil, Rahmah dan Saksama. Kita tak boleh memaksakan pemahaman kita yang terbatas ke atas konsep – konsep ini terhadap iman dan tradisi kita.

Diterjemah dari Tulisan Syeikh Furhan Zubari

 

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close