perbandingan agama

Mencari ‘Magis’ dalam Beragama

Dalam kalangan Muslim dan juga non Muslim, pasti ada sebilangan yang memiliki sikap yang ‘inginkan sesuatu yang melibatkan perkara ajaib dan mistik’ serta mahu disandarkan kepada agama.

Ini kerana dengan cara sebegitu ia seakan menampakkan ‘fungsi’ dan ‘kebenaran’ sesebuah agama. Perkara mistik dan keajaiban telah menjual diri manusia dengan harga yang murah dalam menentu kebenaran. Sebab dengan perkara itulah mereka beranggapan ia dapat menarik perhatian manusia kini yang tidak mahu berfikir apabila beragama.

Perangai yang mahukan ‘kebenaran’ di lihat sebagai sesuatu mistik adalah perangai yang sama ada pada bani Israel yang berjanji untuk beriman sekiranya nabi dan rasul mereka boleh meminta dari Tuhannya supaya menurunkan makanan dari langit dan pelbagai permintaan yang lain.

Pada hari ini situasi dan sikap sebegitu seakan tidak dapat dihakis di dalam diri manusia. Agama itu dimahukan dengan wajah yang mistik dan memiliki keajaiban. Sehinggalah pada hari ini ramai penganut agama-agama mula berlumba-lumba untuk menonjolkan kebenaran agama mereka dengan mengetengahkan peristiwa ajaib yang berlaku.

Penganut Kristian, Hindu, Buddha, Shinto, dan tidak terlepas juga muslim turut mempromosikan gaya beragama dengan perkara ajaib dan mistik. Sekiranya umat Islam berasa ‘hebat’ dengan masjid tidak runtuh ketika Tsunami maka penganut Shinto dan Kristian juga merasa tidak kurang hebatnya dengan patung dan pintu gerbang mereka tidak runtuh ketika berlaku bencana.

Image may contain: text

Ketika umat Islam merasa takjub dan beriman benarnya agama Islam dengan terwujudnya kalimah Allah dan nabi Muhammad di langit maka penganut Kristian, Hindu, Buddha juga tidak terlepas di mana beriman dengan simbol agamanya di awan.

Ketika umat Islam merasa kagum dengan kitab al Quran tidak terbakar di dalam kejadian kebakaran, umat Kristian juga merasa perkara yang sama apabila Bible tidak terbakar malah terbakar dalam bentuk ‘Love’ seperti mana slogan gereja mereka.

Image may contain: text

Umat Islam sering kali menyandarkan ‘penguat keimanan’ mereka kepada perkara ajaib. Sehingga berlaku di Filipina apabila patung Jesus tidak runtuh dilanda taufan Hayyan menyebabkan aqidah umat Islam di sana seakan goyah dan mahu mempercayai bahawa Kristian adalah agama yang benar. Ini suatu fenomena yang tidak sihat dalam beragama!

Image may contain: 1 person, text and outdoor

Apakah sebenarnya yang manusia mahukan dengan agama?.Kebenaran bertuhan atau keajaiban?

Islam tidak menafikan perkara ajaib dan mistik itu berlaku malah di dalam Islam terdapat kepercayaan kepada berlakunya sesuatu perkara yang luar dari tabiat manusia yang dikenali sebagai mukjizat para nabi dan rasul.

Nabi Muhammad sebagai insan yang termulia mengajarkan sifat tabiin sebagai seorang manusia. Disamping Allah memberi kepadanya mukjizat Hissi sebagai tanda kerasulannya, Allah juga memberikan kepadanya mukjizat maknawi yang mana merupakan mukjizat yang paling besar yang akan berkekalan sehingga kiamat. Iaitu al Quran.

Kitab suci yang dimulakan dengan wahyu ‘iqra’. Islam sangat menggalakkan nilai intelektual dan kemajuan sebagai seorang insani. Keimanan para sahabat, tabien dan generasi seterusnya kukuh dan teguh dengan syariat ini apabila mereka menerima kitab ini. Mereka tidak memerlukan perkara-perkara mistik yang menjadi wakil agama untuk berwalikan kebenaran.

Perkara yang menjadi penentu kepada kebenaran agama adalah kitab Suci. Kitab suci merupakan asas kepada kebenaran. Semua agama mendakwa memiliki kalam dari Tuhan akan tetapi persoalannya benarkah semuanya itu kalam Tuhan yang sebenar atau ia adalah kalam yang telah diseleweng? Apakah method untuk menguji kebenaran kitab suci?

Di sinilah memerlukan daya intelektual sebagai seorang manusia. Fitrah manusia inginkan kebergantungan kepada sesuatu yang kukuh. Tidak mungkin diri mereka yang lemas inginkan dahan yang rapuh. Makanya itu pentingnya dialog dan menyampaikan kebenaran.

Kebenaran itu teruji dengan daya pemikiran dan intelektual manusia. Agama itu haruslah bersifat untuk mencerdikkan manusia, sekiranya tidak ia bercanggah dengan fitrah manusia. Oleh kerana umat Islam yakin dengan kebenaran agama dengan kalam Tuhan dan ajaran nabinya maka umat Islam adalah penganut yang terkedepan di dalam pentas ‘menyampaikan’ kebenaran melalui method ilmiah.

Sebab itulah tidak hairan apabila Islam dapat melahirkan ramai pemikir dan saintis terawal kerana mereka merai tuntutan ini. Kreatif dan inovatif mereka disalurkan kepada perkara-perkara bersifat duniawi dan mereka tidak menyalurkan kepada aqidah dan ibadah.

Akan tetapi sekiranya sifat kreatif dan inovatif itu disalurkan kepada aqidah dan ibadah ia akan merosakkan cara beragama. Ia dikenali bid’ah dalam beragama dan perkara ini ditentang oleh Islam. Sekiranya penambahan dan sifat kreatif itu disalur kepada aqidah ia akan menambah sesuatu perkara yang tidak masuk akal samada khayalan dan dakwaan mistik di dalam ajaran mereka.

Perkara inilah antara penyumbang kepada sikap mahukan keajaiban di dalam kelompok muslim. Oleh itu, di era ini ia merupakan era intelektual beragama. Semoga semangat al Quran yang menyeru kepada kebenaran mekar di dalam diri muslim:

“Tunjukkan bukti (hujah) kalian sekiranya kalian daripada golongan yang benar” (Surah al Baqarah: 111)

“Hai ahli Kitab, Marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara Kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah”. jika mereka berpaling Maka Katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa Kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”. (Surah Ali-Imran: 64)

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan Katakanlah: “Kami Telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami Hanya kepada-Nya berserah diri”. (Surah al-Ankabut: 46)

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Surah an-Nahl: 125)

Ahmad Iqram Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close