isu semasaKristian

Kad Raya Diinspirasi ‘Last Supper’ Kristian Undang Kontroversi, Ditegur Pendakwah Perbandingan Agama

Sebuah lakaran grafik kad raya mengundang kontroversi apabila ia mengambil inspirasi lakaran imej Kristian yang popular, the Last Supper.

The Last Supper atau Santapan Terakhir adalah sebuah peristiwa yang diberi gambaran mengenai Jesus di suatu majlis makan malam terakhir (makan Paskah) antara Jesus bersama kedua belas orang pengikutnya sebelum kematiannya di kayu salib (menurut pandangan Kristian). Pada saat itu Jesus banyak berpesan kepada pengikutnya dan turut dirakamkan kisah Jesus membasuh kaki kesemua anak muridnya.

Kisah ini disebut dalam Bible, di buku Matius bab 26: ayat 17-29, buku Markus 14:12-25, buku Lukas 22:7-38, dan buku Yohanes 13:1-38.

Situasi pada the last supper ini dianggap peristiwa penting dalam Kristian dan ia telah menjadi subjek dalam banyak lukisan, di antaranya yang paling terkenal ialah lukisan Leonardo da Vinci.

Image result for the last supper
The last supper – news.italy-museum.com

Lakaran grafik sampul raya tersebut secara tampak, jelas menyamai ciri – ciri imej Kristian yang popular tersebut berdasarkan reka bentuk dalaman bangunan, bilangan 13 orang (Jesus + 12 Hawari), serta perawakan watak – watak Muslim dalam lakaran tersebut.

Hal ini turut dikesan oleh wargamaya, termasuk non Muslim.

Sebuah laman bukan Muslim mempersoal penerimaan lakaran tersebut dalam masyarakat Malaysia

Beberapa pereka grafik yang lain turut menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap adaptasi lakaran tersebut daripada imej agama.


Pengguna media sosial lain turut mempersoalkan sama ada lakaran tersebut seolah – olah menghina dan mempersenda lukisan last supper Jesus:

” Patutnya orang kristian yang marah sebab persenda lukisan last supper Jesus”

Seorang pengguna media sosial beragama Katolik mengecam lakaran tersebut dan berhasrat melaporkan kepada polis:

Bagaimanapun, kebimbangan yang lebih disuarakan oleh agamawan adalah berkenaan isu tasyabbuh penyerupaan agama lain secara tidak sensitif.

Nabi menyebut dalam sebuah hadis:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar) Hadis ini dinilai sahih oleh Ibn Taimiyyah dan al-Iraqi manakala Ibn Hajar al-‘Asqalani dan al Albani menyatakan ia hasan.

Seorang pendakwah perbandingan agama, Ustaz Iqram Mohd Noor menyatakan bahawa lakaran ini, walaupun mungkin cuma berniat adaptasi ‘parodi’ dan ‘satira’, memiliki masalah kerana gambar the last supper tersebut telah menjadi doktrin dalam Kristian.

“Dalam isu ini ia termasuk dalam perkara ‘Tasyabbuh’ menyerupai sesuatu perkara yang bersifat keagamaan”

“Mungkin akan ada yang mahu dibincangkan soal lakaran gambar itu secara teknikalnya merupakan seni lukisan Leonardo Da Vinci dan ia bukan situasi sebenar saat last supper yang berlaku pada zaman Jesus, tetapi perlu diketahui bahawa gambar tersebut telah menjadi sinonim dengan gambaran situasi the last supper yang telah menjadi doktrin dalam Kristian”

“Seperti soal simbol salib jika ingin dibincang soal teknikal sememangnya tidak ada syiar dalam Bible menyuruh memakainya sebagai simbol agama. Akan tetapi pada hari ini salib telah disinonimkan dengan agama tersebut sehingga pada hari ini ia dianggap simbol suci dalam sesebuah agama. Jika seseorang muslim memakainya atau membuat hiasan menggunakan simbol salib ia turut termasuk dalam larangan Tasyabbuh. Sebab ia telah disinonimkan dengan sesuatu kepercayaan agama”

Beliau juga menyeru agar lakaran – lakaran seperti ini dieelakkan.

“Apabila pelukis kartun menyusun gambar sedemikian, dengan jumlah seperti dalam gambar 13 orang the last supper, gambaran hidangan digantikan dengan juadah raya ia adalah sesuatu adaptasi yang jelas dan nyata. Sesungguhnya perkara sebegini perlu dielakkan, bimbang ia dianggap sesuatu yang tidak lagi sensitif kelak dengan akan ada gambar muslim beraya dengan imej duduk bertapa seperti diajarkan dalam sesebuah agama dan sebagainya. Hakikatnya lebih banyak lagi idea menarik yang boleh diolah selain menceduk dari simbol kepercayaan agama lain”

“Di dalam Islam, konsep tasyabbuh ini jarang orang kita dapat fahami dengan baik, begitu juga masyarakat bukan Islam juga tidak dapat memahaminya mengapa umat Islam dilarang menyambut perayaan keagamaan dan tidak dibenarkan memakai pakaian simbol keagamaan kerana Islam memiliki larangan Tasyabbuh ini. Oleh itu, para asatizah perlu menekankan tentang perkara ini dengan lebih baik lagi”

“Demikian itu, jangan cemari ibadah hari raya Eidulfitr dengan perkara-perkara Tasyabbuh yang bukan menjadi syiar dalam agama kita”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close