Syubhat

Nabi Yusuf Bukan Penjenayah

1.Begitu ekstrem sifat pentaksub politik sehingga sanggup menfitnah Nabi Yusuf sebagai banduan atas kes cubaan merogol. Biar pun pendirian politik berbeza, jangan sampai kita memanipulasi ayat Allah dan kisah Rasul semata-mata kehendak politi.

2. Nabi Yusuf dipenjara bukanlah kerana kes percubaan merogol seperti yang didakwa oleh pemilik akaun twitter ini. Al-Quran jelas menceritakan bahawa Nabi Yusuf difitnah sehingga menyebabkan beliau dipenjara. Kata al-Imam al-Tabari:

وذكر أن سبب حبسه في السجن كان شكوى امرأة العزيز إلى زوجها أمره وأمرها

“Dan disebutkan sebab Baginda (Nabi Yusuf) ditahan dipenjara adalah kerana aduan (fitnah) isteri pemerintah tersebut kepada suaminya tentang perihal dirinya. (al-Tabari, Jami al-Bayan).

3. Fitnah yang dilakukan oleh isteri al-Aziz tersebut jelas dinukilkan di dalam al-Quran. Perempuan tersebut memberi amaran sekiranya Nabi Yusuf tidak mengikut kehendaknya, Nabi Yusuf akan dipenjara. Dalam menceritakan perkara ini Allah berfirman:

وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِنَ الصَّاغِرِينَ

(kata wanita tersebut) dan sesungguhnya sekiranya dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina. (Surah Yusuf:32)

4. Sheikh al-Sha’rawi memperincikan lagi pemahaman tentang ayat ini. Kata beliau:

إن لم يُطِعْها فيما تريد؛ فلسوف تسجنه وتُصغِّر من شأنه لإذلاله وإهانته.

“Sekiranya Nabi Yusuf tidak melakukan kehendak perempuan tersebut, maka dia akan memenjarakan Baginda dan bertindak merendahkan (maruah) Nabi Yusuf sehingga dia dipandang hina.

Jelas di sini bahawa Nabi Yusuf telah difitnah. Baginda dituduh dengan fitnah yang jahat sehingga beliau diugut akan dipenjara dan akan dimalukan sehingga manusia memandang hina kepada Baginda.

5. Malangnya hari ini ada yang melihat Nabi Yusuf dengan pandangan yang salah. Apa yang lebih malang adalah kerana tindakan tersebut atas dasar politik.

6. Atas sebab itu Sheikh al-Qardawi menegaskan kepada kita bahawa terdapat beberapa perkara yang menjadi punca kepada kesalahan dalam penafsiran al-Quran. Salah satunya adalah penafsiran al-Quran atas kehendak politik.

Al-Qardawi mendatangkan contoh bagaimana golongan Khawarij menggunakan ayat 40 daripada Surah Yusuf sebagai pendirian politik mereka dalam menolak konsep Tahkim yang dijalankan ketika pemerintahan Saidina Ali.

7. Bimbang akan berlakunya penyelewangan makna al-Quran untuk kepentingan tertentu, Rasulullah ﷺ memberi amaran keras kepada Muslim supaya berhati-hati dalam menafsirkan ayat al-Quran. Sabda Rasulullah:

مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Barangsiapa yang mengatakan sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu maka dia telah menempah tempatnya dineraka.”

8. Jangan kerana taksub politik, kita melakukan pendustaan terhadap para Nabi. Jangan kerana kehendak politik kita menyalahgunakan ayat al-Quran.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close