Ateis

Gambar Lubang Hitam Membantah Ateis

Apa yang perhatikan daripada gambar di atas?

Gambar pertama lohong hitam supermasif?

Secara teknikalnya, sebenarnya tidak. Ini kerana lubang / lohong hitam sebenarnya tidak dapat diperhatikan kerana cahaya tidak dapat melepasinya, lantaran daya graviti yang begitu kuat. Apa yang anda perhatikan sebenarnya adalah gas bersuhu sangat tinggi (superheated) yang jatuh ke dalam lubang hitam.

Hal ini memperlihatkan beberapa perkara.

Pertama, ketika mana seorang ateis mengatakan bahawa mereka hanya mempercayai hal yang mereka boleh kesan secara langsung melalui deria, hakikatnya ia tidak sehaluan dengan amalan dalam sains. Kita boleh mempercayai sesuatu dengan memerhatikan kesan yang dihasilkannya. Lohong hitam mempengaruhi putaran galaksi, melengkungkan cahaya oleh bintang – bintang berhampiran atau ‘menghasilkan’ cahaya melalui gas – gas panas yang jatuh ke dalam ruang kegelapannya. Kita sebenarnya tidak memerhatikan secara langsung penyebab, tetapi apa yang dilihat adalah kesannya. Lalu kita mengandaikan bahawa pasti ada sesuatu yang menyebabkan kesan tersebut.

Hal ini menunjukkan bahawa kita mesti mempercayai asbab musabab (causality) untuk menjelaskan pemerhatian melalui deria. Kepercayaan terhadap asbab musabab ini adalah suatu aksiom dalam sains. Dengan kata lain, sains hanya tertegak dengan kepercayaan bahawa asbab musabab itu wujud. Jika anda membantah asbab musabab, bermakna anda membantah keseluruhan metod saintifik. Maka sebelum kita membuat pemerhatian, atau melakukan eksperimen saintifik, kita mesti terlebih dahulu mengandaikan bahawa pemerhatian tersebut akan tertakluk kepada asbab musabab dengan suatu benda yang lain.

Hal yang seterusnya adalah lohong hitam asalnya dipercayai wujud berdasarkan hasil kerja matematik Einstein dalam Teori kerelatifan (Theory of Relativity). Ideanya adalah, jika suatu objek cukup berat jisimnya, tapi pada masa yang sama kecil saiznya, ia akan melengkungkan ruang untuk membentuk lohong hitam.

Sekali lagi di sini andaiannya adalah bahawa pola dan peraturan wujud dalam semesta, kekal sekata secara konsisten dan pola dan peraturan tersebut pula boleh digunakan untuk membuat pula ramalan masa depan. Harus disedari bahawa tiada apa yang menetapkan bahawa pemerhatian masa depan kita harus tunduk kepada pengalaman masa lampau kita. Tapi ia berlaku.

Semua ini membuat kita menyedari betapa dangkalnya pemikiran sesetengah ateis yang mengklaim sains itu bebas daripada sebarang andaian metafizik. Secara jelas sains itu tertakluk dengan metafizik melihatkan prinsip asbab musabab, ramalan terhadap masa depan berpandukan pengalaman lampau, mengandaikan kewujudan pola dan peraturan dalam alam, dan semua ini pula dapat dipersembahkan dalam bahasa matematik yang dapat pula diguna pakai di semua tempat dalam alam semesta.

Akhirnya sains berguna sebagai penjelasan mekanistik kepada pemerhatian kita, tetapi ia tidak dapat menjelaskan mengapa mekanisme ini wujud terlebih dahulu. Ini kerana mekanisme – mekanisme ini tidak perlu wujud, atau boleh wujud dalam bentuk lain, atau mematuhi peraturan – peraturan lain.

Apa maksudnya?

Sama seperti kita membuat kesimpulan bahawa kewujudan lohong hitam tersebut adalah melalui kesan – kesan lain, gas bersuhu tinggi dll, maka kita boleh membuat kesimpulan yang sama terhadap hal – hal yang tidak dapat diperhatikan, melalui kesan yang dihasilkan. Seperti mempercayai kewujudan Pencipta abadi yang tidak bergantung kepada apa pun, melalui pencerapan terhadap alam semesta yang tidak kekal.

Kedua, satu – satunya penjelasan mengapa alam semesta ini mematuhi satu pola dan peraturan yang tetap adalah mestilah terdapat sesuatu di luar alam semesta, di luar daripada benda – benda material yang terhad, yang menetapkan pola dan peraturan tersebut kepada alam semesta.

Maka satu – satunya konklusi logika melalui pencerapan terhadap makhluk – makhluk lemah dan saling bergantungan, adalah perlunya kewujudan suatu entiti yang abadi yang tidak bergantung kepada suatu apa pun, yang kita panggil dengan nama Allah SWT.

Maka apa sebenarnya yang kita perhatikan?

Sesungguhnya tidak lain ia adalah petunjuk kewujudan Allah.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”

Ali Imran 3:190

Diterjemah daripada tulisan Sharif Abu Laith

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close